Tertuduh, Muhammad Aimanuddin Julaihi, diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman bagi 10 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

MELAKA – Seorang guru tahfiz di sebuah pusat pengajian al-Quran di Bukit Rambai, Melaka dipenjara keseluruhan 102 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah melakukan seks luar tabii terhadap tiga pelajar lelakinya, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Aimanuddin Julaihi, 31, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sebaik 10 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut lapan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun.

Manakala bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh yang hanya tunduk mengaku melakukan kesalahan sama dengan cara meliwat dua lagi pelajarnya masing-masing berusia 14 dan 16 tahun ketika kejadian.

Semua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan, antaranya bilik tidur, pejabat, dewan makan, perpustakaan dan sekitar pusat tahfiz berkenaan antara Mei hingga Julai 2025 lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan juga sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berjalan serentak, selain alasan menanggung abang dan ibu yang sedang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Hakim Rohatul pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama hingga lapan serta penjara 11 tahun dan dua sebatan bagi dua pertuduhan lain.

Ini menjadikan keseluruhan hukuman penjara adalah 102 tahun dan 12 sebatan.

Hukuman pemenjaraan bagaimanapun berjalan serentak dan tertuduh hanya menjalani penjara selama 11 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 3 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here