PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) membantah arahan kerajaan supaya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mempercepatkan proses 15,000 permohonan pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor tertentu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan berkenaan perlu dikaji semula kerana dibuat tanpa penjelasan terperinci mengenai sektor yang terlibat, kriteria penyaringan serta keperluan sebenar industri.
Hishamuddin berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini.
Menurut beliau, MHO tidak menolak keperluan industri mendapatkan tenaga kerja bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara, namun proses membawa masuk pekerja asing dalam jumlah besar tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa.
“Bantahan kami bukan terhadap usaha kerajaan memastikan keperluan tenaga kerja dipenuhi, tetapi terhadap pendekatan tergesa-gesa dalam mengarahkan KESUMA menyegerakan proses 15,000 permohonan pekerja asing.
“Bagi jumlah sebesar ini, kerajaan perlu menjelaskan sektor yang terlibat, kriteria penyaringan serta justifikasi sebenar mengapa permohonan berkenaan perlu dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata, MHO bimbang langkah tersebut berpotensi menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan, khususnya dalam sektor yang masih mempunyai tenaga kerja tempatan atau golongan yang sedang mencari pekerjaan.
“Pada pandangan kami, sebarang langkah membawa masuk pekerja asing dalam skala besar wajar didahului penelitian menyeluruh terhadap potensi tenaga kerja sedia ada dalam negara,” ujar beliau.
Hishamuddin berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kepada 10 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara menjelang 2030.
“Justeru, arahan mempercepatkan kelulusan 15,000 permohonan tanpa penjelasan lanjut mengenai sektor dan kriteria yang digunakan menimbulkan persoalan sama ada langkah itu selari dengan semangat serta sasaran dasar tersebut,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, MHO mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula skop kelulusan pantas berkenaan mengikut sektor, dengan keutamaan diberikan kepada industri yang benar-benar mengalami kekurangan tenaga kerja tempatan.
Beliau turut mencadangkan supaya majikan diwajibkan mengiklankan kekosongan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum kelulusan mengambil pekerja asing diberikan.
“Kerajaan juga wajar menerbitkan laporan ketelusan secara berkala mengenai jumlah serta sektor yang menerima kelulusan pekerja asing supaya perkara ini dapat dipantau oleh orang awam,” cadang beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Hishamuddin mencadangkan golongan stateless yang berada di Malaysia dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan dalam sektor 3D iaitu pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar, yang kurang mendapat sambutan rakyat tempatan.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing baharu, malah memberi peluang kepada golongan stateless mendapatkan pekerjaan secara sah serta membantu kerajaan mempunyai rekod dan data pengenalan mereka.
“Cadangan ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak, sebaliknya satu pendekatan yang boleh memberi manfaat kepada golongan stateless dan pada masa sama membantu kerajaan mendapatkan data pengenalan mereka.
“Dengan adanya identiti serta status pekerjaan yang lebih jelas, ia juga boleh memudahkan agensi penguatkuasaan mengesan individu terbabit sekiranya berlaku sebarang masalah undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, MHO menggesa kerajaan mempertimbangkan semula arahan mempercepatkan proses 15,000 permohonan pekerja asing berkenaan dan menilai terlebih dahulu keperluan sebenar setiap sektor.
“Kita perlu memastikan dasar tenaga kerja negara tidak hanya menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam jangka pendek, tetapi pada masa sama menjaga peluang pekerjaan rakyat serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dalam jangka panjang,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















