Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Perpaduan tidak boleh ditafsirkan sebagai majoriti sentiasa perlu mengalah, manakala minoriti sentiasa perlu dilindungi daripada sebarang teguran atau perubahan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jika hak majoriti boleh dipersoalkan atas nama toleransi, tetapi tuntutan minoriti pula dianggap pantang disentuh, itu bukan lagi kesamarataan—itu ketidakseimbangan.

Menurutnya, dalam masyarakat majmuk, minoriti wajib dihormati, tetapi majoriti juga mempunyai hak yang sah untuk dihormati.

“Toleransi bukan jalan sehala. Perpaduan hanya akan kukuh apabila semua pihak bersedia memberi dan menerima, menghormati hak masing-masing serta tunduk kepada prinsip yang sama.

“Jika satu pihak sentiasa diminta mengalah dan satu pihak lagi sentiasa diberikan pengecualian, jangan hairan jika akhirnya perpaduan yang dilaungkan hanya melahirkan rasa tidak adil,” katanya menerusi Facebooknya malam ini.

Tambah Zainul Rijal, perpaduan seolah-olah hanya berlaku apabila majoriti tunduk kepada minoriti.

Katanya, hak majoriti boleh dipersoalkan, dikritik atau diketepikan atas nama toleransi, tetapi apabila menyentuh kepentingan minoriti, seolah-olah semuanya menjadi perkara yang tidak boleh diusik.

Jelasnya, melindungi minoriti adalah prinsip demokrasi, tetapi melindungi minoriti tidak bermakna mengorbankan hak majoriti.

Sedangkan, menurutnya, toleransi tidak boleh menjadi jalan sehala; sensitiviti tidak boleh hanya dikenakan kepada satu pihak.

“Perpaduan sebenar bukan apabila majoriti sentiasa mengalah dan minoriti sentiasa mendapat pengecualian.

“Perpaduan ialah apabila majoriti tidak menindas minoriti, dan minoriti pula tidak menuntut sehingga menafikan hak majoriti.

“Semua mesti tunduk kepada prinsip, undang-undang dan perlembagaan yang sama.

“Jika keadaan ini tidak diseimbangkan, kita bukan sedang membina perpaduan, tetapi sedang menanam rasa tidak adil yang suatu hari nanti akan menjadi lebih sukar untuk dibendung,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast