KUALA LUMPUR – Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau dalam menguatkuasakan undang-undang sehingga menutup operasi perniagaan hanya kerana kesalahan berkaitan pemasangan bendera, kata Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim.
Beliau berkata, sekiranya terdapat Undang-Undang Kecil (UUK) yang menetapkan hukuman terhadap kesalahan menggantung bendera, tindakan sewajarnya adalah mengenakan denda yang munasabah dan bukannya menghentikan operasi perniagaan.
“Kalau ada UUK untuk hukuman bagi silap gantung bendera sekalipun, hukumannya tidak boleh menganiaya sehingga menghentikan operasi perniagaan.
“Sekadar denda RM200, RM500 atau RM1,000 sudah memadai. Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Teng mempersoalkan kewajaran tindakan menutup operasi perniagaan semata-mata untuk mendapatkan komitmen kehadiran pihak terbabit.
Semalam, sebuah kilang perindustrian ditutup sementara selepas Jalur Gemilang dan bendera Johor didapati dipasang secara terbalik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kejadian itu dipandang serius kerana kedua-dua bendera berkenaan melambangkan identiti, maruah dan kedaulatan negara serta negeri.
Beliau berkata, kejadian itu tidak boleh dianggap sebagai kesilapan kecil atau dibiarkan tanpa tindakan.
“Sekadar hendak mendapatkan komitmen kehadiran maka ditutup operasi perniagaan? Apa jenis penguatkuasaan undang-undang ini?
“Denda sajalah kalau salah atau tidak hadir. Kalau ingkar lagi, baru tindakan seterusnya. Bukan suka-suka tutup operasi perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil dan seimbang berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan sama akan dikenakan terhadap institusi lain sekiranya berlaku kesalahan.
“Kalau bank yang silap, nak tutup bank? Kalau pejabat kerajaan silap, tutup pejabat kerajaan?” soalnya. – MalaysiaGazette
Kilang pasang Jalur Gemilang, bendera Johor terbalik diarah tutup serta-merta

















Ini bukan alasan cuai atau kesilapan, tetapi disengajakan……kami sokong kerajaan Johor kerana dengan sengaja mempersendakan maruah negara.