Warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa di Taman Pandan Komersial dan Taman Pandan Mewah, Pandan Indah, semalam. Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seramai 217 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa di Taman Pandan Komersial dan Taman Pandan Mewah, Pandan Indah, semalam.

Operasi yang diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Operasi yang dijalankan bermula pukul 9 pagi itu mendapati, sebahagian warga asing yang diperiksa disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit yang sah.

Pemeriksaan turut mengesan beberapa kesalahan berkaitan premis perniagaan dan bekalan elektrik.

Individu yang didapati melakukan kesalahan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, operasi berkenaan berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, polis turut mengesan satu hantaran video yang tular berkaitan operasi berkenaan di aplikasi Threads semalam.

PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di rumah atau premis di bawah kawalan mereka.

Menurut Khairul Anuar, tindakan boleh diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 antaranya, Seksyen 55B yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 bagi setiap PATI atau hukuman penjara atau kedua-duanya terhadap pihak yang menggaji PATI.

Bagi kesalahan membenarkan PATI tinggal di premis pula, Seksyen 55E memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM30,000 bagi setiap PATI atau hukuman penjara atau kedua-duanya.

Sementara itu, Seksyen 56(1)(d) memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM50,000 terhadap pihak yang melindungi PATI, dengan hukuman lebih berat bagi kes melibatkan jumlah PATI yang ramai.

Khairul Anuar memaklumkan, operasi dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here