PUTRAJAYA – “Facebook paling banyak dosa” kepada rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Platform berkenaan merekodkan peratusan tertinggi kandungan perjudian dalam talian dan penipuan (scam) yang dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Fahmi, Facebook menyumbang 78 peratus daripada kandungan perjudian dalam talian yang dimohon untuk diturunkan, jauh mengatasi YouTube sebanyak 18 peratus dan TikTok empat peratus.
Bagi kandungan scam pula, Facebook sekali lagi menduduki tempat teratas dengan 53 peratus, diikuti TikTok 39 peratus dan Threads lima peratus.
“Kalau hendak kata platform mana yang paling banyak buat dosa kepada rakyat Malaysia, untuk judi dalam talian, Facebook adalah yang paling banyak.
“Untuk scam juga, Facebook paling tinggi dengan 53 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan Jabatan Imigresen Malaysia, hari ini.
Fahmi berkata, sepanjang 1 Januari hingga 17 Ogos lalu, sebanyak 470,593 kandungan telah dimohon untuk diturunkan, dengan 436,661 kandungan atau 93 peratus dipersetujui platform terbabit untuk diturunkan.
Daripada jumlah itu, katanya, 64 peratus adalah kandungan berkaitan perjudian manakala 27 peratus membabitkan penipuan.
Menurut beliau, angka berkenaan menunjukkan platform media sosial perlu lebih proaktif membendung kandungan memudaratkan dan tidak hanya menunggu laporan daripada pihak berkuasa atau orang awam.
“Setiap platform perlu bertindak secara proaktif untuk mengesan, menyekat dan menurunkan kandungan memudaratkan yang jelas melanggar garis panduan serta terma penggunaan mereka.
“Kelewatan inilah yang memberi ruang kepada kandungan memudaratkan untuk terus tersebar dan meningkatkan risiko kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah RM158 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM2.9 bilion sepanjang 2025.
Beliau berkata, jenayah rentas sempadan kini semakin kompleks apabila sindiket memanfaatkan rangkaian komunikasi dan platform digital untuk menjalankan kegiatan mereka.
Justeru, katanya, kerjasama antara MCMC dan Jabatan Imigresen Malaysia diperlukan bagi memperkukuh perkongsian maklumat dan risikan, termasuk mengesan individu, rangkaian komunikasi serta modus operandi sindiket jenayah rentas sempadan.
Fahmi turut memaklumkan MCMC sedang memperkukuh langkah berkaitan pengesahan identiti digital atau eKYC bagi platform media sosial yang tertakluk kepada kerangka kawal selia negara.
Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna dan menyokong tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan platform digital. – MalaysiaGazette
















