KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan memanggil 29 saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes Hydroshoppe Sdn. Bhd. dan pengarahnya berhubung dakwaan tawaran suapan RM500,000 setahun bagi manfaat Tan Sri Annuar Musa berkaitan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memberitahu Mahkamah Tinggi, pihaknya sudah menyerahkan senarai saksi dan dokumen terakhir iaitu jilid keempat kepada pihak pembelaan hari ini.
Menurut beliau, pernyataan saksi pendakwaan pula akan diserahkan selewat-lewatnya dua minggu sebelum tarikh perbicaraan yang dijadual bermula pada 4 Januari tahun depan.
Sementara itu, peguam Chetan Jethwani yang mewakili kedua-duanya memaklumkan, pihaknya akan memfailkan pembelaan dalam tempoh sebulan sebelum tarikh perbicaraan.
Selain itu, pendakwaan turut memohon mahkamah melapangkan tiga tarikh perbicaraan iaitu 16, 17 dan 18 Mac 2027 dan menjadualkannya semula.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan sedia ada ditambah selama empat hari lagi iaitu pada 24, 28, 29 dan 30 Jun 2027.
Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 hingga 7 Januari 2027, 2 hingga 4 Februari, 8 hingga 10 Jun, 14 hingga 17 Jun dan 21 hingga 23 Jun tahun sama.
Mahkamah turut menetapkan 30 November ini bagi pengurusan kes.
Pada 5 April 2023, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 52, didakwa menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Annuar yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia melalui Datuk Tan Ser Lay.
Suapan itu didakwa supaya mempercepat pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya antara Julai hingga Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Hydroshoppe turut didakwa mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagai sebuah organisasi komersial kerana secara bersama-sama menawarkan suapan kepada Ser Lay bagi manfaat Annuar di lokasi dan tarikh sama.
jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda RM1 juta atau 10 kali nilai suapan mengikut yang mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















