Kastam Pulau Pinang rampas rokok dan minuman keras bernilai RM2.52 juta termasuk duti dan cukai menerusi tiga serbuan di negeri ini dan Kedah.

PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM2.52 juta termasuk duti dan cukai menerusi tiga serbuan di negeri ini dan Kedah, bulan lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, rampasan itu membabitkan 1,015,120 batang rokok dan 18,409.50 liter minuman keras jenis bir serta liquor.

Dua serbuan dilakukan pada 10 Julai lalu masing-masing di Kulim, Kedah dan Bukit Mertajam di sini dengan keseluruhan rampasan bernilai RM1,685,094.18 termasuk duti dan cukai.

“Manakala serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Sungai Jawi pada 31 Julai lalu, dengan rampasan 777,400 batang rokok bernilai RM843,827.60 termasuk duti dan cukai.

“Susulan itu, kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang memegang kunci rumah bagi kes ketiga.

“Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas rakaman keterangan diambil,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Hasbollah (tengah) pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketiga-tiga serbuan membabitkan rumah teres yang dipercayai disewa untuk menyembunyikan barang berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Katanya, antara minuman keras yang dirampas adalah produk yang tidak dibenarkan dijual di Malaysia kerana mempunyai kandungan alkohol yang tinggi.

“Rokok dan minuman keras terbabit diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga kes ini membabitkan sindiket yang sama atau berlainan,” katanya.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyikan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan.

Sehubungan itu, Hasbollah turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada JKDM menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here