Ahmad Faizal melihat pematuhan pengosongan tangki septik secara berjadual dalam Ops Tebrau di Jalan Syahbandar, Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenal pasti dua kawasan tadahan air di Perlis dan Kedah kini berada pada tahap kritikal ekoran cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, ia melibatkan Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Muda di Kedah.

“Bagaimanapun keadaan bekalan air di kedua-dua kawasan berkenaan masih terkawal. Bekalan air di Empangan Timah Tasoh dilaporkan mampu bertahan sehingga 50 hari sekiranya tiada hujan.

“Pemantauan terhadap semua empangan dilaksanakan secara berterusan. Setakat ini masih terkawal cuma di bahagian Utara yang agak kritikal iaitu Empangan Timah Tasoh dan Empangan Muda.

“Paling kritikal sekarang ini di Perlis. Saya difahamkan boleh bertahan 50 hari kalau tidak ada hujan,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas Ops Tebrau (Pematuhan Pengosongan Tangki Septik Secara Berjadual) di Jalan Syahbandar 2, Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, keadaan dijangka tidak berlarutan selepas program pembenihan awan dilaksanakan dan menghasilkan hujan di beberapa kawasan.

Berdasarkan pola cuaca sebelum ini, kawasan utara dijangka menerima hujan sekitar September hingga Oktober berikutan peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut.

“Harap-harap hujan tetapi kalau tidak hujan, kita sudah ada perancangan bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Syarikat Air Perlis untuk mengepam air daripada tempat-tempat yang sepatutnya seperti kolam, tali air dan sebagainya,” ujar beliau.

Ahmad Faizal berkata, keadaan bekalan air di negeri lain masih terkawal termasuk Johor yang menerima sedikit hujan dalam tempoh satu hingga dua minggu kebelakangan ini.

Beliau memberitahu, sebanyak empat siri operasi pembenihan awan sudah dilaksanakan bermula April hingga Julai lalu dengan kebanyakannya tertumpu di kawasan utara dan Johor.

Program berkenaan secara keseluruhannya berjaya menghasilkan hujan, namun pelaksanaannya bergantung kepada keadaan awan yang bersesuaian.

Pembenihan awan, kata beliau, kebanyakannya berhasil kerana kajian akan dibuat sebelum pembenihan dilaksanakan.

“Bila ada awan yang bersesuaian, barulah pembenihan awan dilaksanakan kerana kosnya mahal iaitu antara RM80,000 hingga RM100,000 bagi setiap penerbangan.

“Terdapat juga pembenihan awan yang tersasar yang mana hujan turun dikawasan lain tetapi sistem baraj di beberapa sungai turut membantu menakung air sebelum mengalir ke laut,” katanya.

Tambahnya, Sungai Johor mempunyai baraj (empangan kecil) di bahagian hilir yang membolehkan air dikumpulkan manakala sistem sama turut terdapat di Sungai Muda, Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here