Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Datuk Hussain Moh (tengah) bergambar selepas Majlis Penutupan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Tanjung Genting, Jalan Makan, Mersing. Foto AIZAT ZAINAL

MERSING – Dalam keadaan perubahan iklim yang menyebabkan kejadian banjir, tanah runtuh, ribut, cuaca ekstrem dan fenomena alam lain semakin kerap berlaku, kesiapsiagaan masyarakat menjadi benteng pertama bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerugian harta benda.

Atas sebab itu, pendekatan pengurusan bencana pada hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada keupayaan kerajaan semata-mata untuk bertindak balas selepas sesuatu bencana berlaku, sebaliknya negara memerlukan masyarakat yang memahami risiko, mempunyai pengetahuan untuk bertindak dan mampu bangkit semula dengan cepat apabila berhadapan dengan sebarang krisis.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dipertanggungjawabkan untuk merangka pelan persediaan masyarakat menghadapi bencana dengan memperkenalkan pendekatan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (Community Based Disaster Risk Management – CBDRM).

Ia menjadi antara strategi utama negara dalam membudayakan kesiapsiagaan bencana di peringkat akar umbi.

Pendekatan ini selari dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang mengiktiraf komuniti sebagai komponen paling penting dalam usaha mengurangkan impak bencana.

 Komuniti adalah barisan pertama ketika bencana

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana NADMA, Datuk Hussain Moh berkata, realitinya komuniti merupakan pihak pertama yang berdepan sesuatu bencana sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Menurut beliau, melalui pelaksanaan latihan CBDRM, NADMA berharap komuniti dapat meningkatkan keupayaan untuk bertindak secara kendiri pada peringkat awal sesuatu bencana, termasuk membantu diri sendiri, keluarga serta komuniti, khususnya golongan yang rentan.

Pengalaman ini berulang kali dibuktikan dalam pelbagai insiden banjir, tanah runtuh dan kebakaran di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Datuk Hussain Moh. Foto AIZAT ZAINAL

“CBDRM mengubah paradigma dengan meletakkan komuniti sebagai rakan strategik dalam pengurusan risiko bencana. Penduduk bukan lagi sekadar menunggu bantuan, sebaliknya diberi pengetahuan dan kemahiran untuk mengenal pasti risiko di kawasan mereka, membangunkan pelan tindakan komuniti serta melaksanakan latihan simulasi supaya boleh bertindak awal sewaktu bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Program CBDRM di Tanjung Genting, Mersing.

Program disesuaikan mengikut risiko setiap kawasan

Program CBDRM tidak menggunakan pendekatan “satu modul untuk semua”, sebaliknya setiap komuniti akan mengenal pasti sendiri ancaman yang wujud di kawasan mereka sebelum pelan risiko dibangunkan.

Sebagai contoh, kawasan Mersing lebih berisiko menghadapi banjir ketika Monsun Timur Laut, kerana geografi yang rendah, berhampiran sungai dan kawasan pesisir pantai manakala kawasan lain mungkin berdepan ancaman tanah runtuh, kepala air, gempa bumi kecil, kebakaran hutan atau serangan haiwan liar.

Justeru, latihan, simulasi dan pelan pemindahan disediakan mengikut keadaan geografi, tahap kerentanan serta kapasiti komuniti setempat.

CBDRM bukan hanya melibatkan NADMA.

Pelaksanaannya bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, penghulu, ketua kampung, NGO, sukarelawan, sekolah, komuniti setempat serta agensi keselamatan dan penyelamat.

Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Kampung Semaloi, Endau, Johor. Foto AIZAT ZAINAL

Di Mersing misalnya, program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama NADMA, Pertubuhan Ihsan Johor di bawah platform Rakan NADMA, Pejabat Daerah Mersing, penghulu mukim, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia, Grup Gerak Khas serta pelbagai agensi lain.

 Mersing dijadikan contoh pelaksanaan CBDRM

Program yang berlangsung selama dua hari di Mersing melibatkan 60 penduduk daripada lima kampung dengan pelbagai latihan praktikal yang memberi fokus kepada kesiapsiagaan komuniti.

Mersing merupakan satu daerah yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan mempunyai komposisi penduduk pelbagai seperti komuniti pesawah, nelayan dan Orang Asli.

Tiap kali tiba musim Monsun Timur Laut (MTL), komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Labong, Endau, Mersing resah kerana bukan sahaja tidak boleh turun ke laut untuk mencari rezeki sebagai nelayan malah, ‘esbok’ atau peti ais juga perlu ditukar setiap tahun akibat kerugian impak banjir.

Begitu juga komuniti pesawah di Kampung Air Papan, ketika aktiviti evakuasi apabila air bah mula turun ke kampung mereka, terdapat individu daripada golongan rentan ‘tertinggal’ kerana masyarakat kampung tidak mempunyai pelan sistematik bagi menghadapi bencana.

 Penduduk sendiri akui manfaat CBDRM

Penghulu Mukim Mersing dan Mukim Tenglu, Nurulikhwan Hujan@tik (tengah). Foto AIZAT ZAINAL

Penghulu Mukim Mersing dan Mukim Tenglu, Nurulikhwan Hujan@Tik berkata, pelaksanaan CBDRM di kawasan itu memberi pendedahan yang amat penting kepada penduduk dalam menghadapi risiko bencana, khususnya banjir yang semakin kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, pengalaman banjir besar pada awal tahun 2024 membuka mata banyak pihak bahawa komuniti perlu mempunyai pengetahuan asas dan pelan tindakan sendiri sebelum bantuan daripada agensi penyelamat tiba.

“Pada awal tahun 2024, kami dikejutkan dengan kejadian banjir pada waktu subuh sehingga beberapa jalan utama terpaksa ditutup kepada kenderaan berat dan ringan. Situasi itu memberi cabaran besar kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat.

“Dengan adanya program CBDRM ini, penduduk kini lebih memahami tindakan awal yang perlu dilakukan sekiranya bencana berlaku, termasuk proses pemindahan, mengenal pasti laluan selamat serta membantu golongan rentan seperti warga emas dan orang kurang upaya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pentadbir mukim, pihaknya kini turut memperkukuhkan pelan pengurusan bencana di peringkat komuniti melalui kerjasama bersama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan supaya setiap kampung mempunyai tahap kesiapsiagaan yang lebih baik.

Menurutnya, usaha membudayakan kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat perlu diteruskan kerana bencana boleh berlaku tanpa diduga, manakala komuniti yang mempunyai pengetahuan dan latihan akan lebih bersedia mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.

Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah berkata, Pejabat Daerah yang berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) turut berkongsi pengalaman menguruskan banjir pada awal tahun ini selain membuktikan kepentingan setiap komuniti memahami tindakan awal sebelum bantuan sampai.

Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah. Foto AIZAT ZAINAL

Menurut beliau, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan termasuk penandaan kawasan berisiko banjir, pengumpulan data penduduk rentan, penggunaan gelang pengenalan mangsa di PPS dan penambahbaikan penyelarasan operasi antara agensi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farah Faridah Baptish berharap program seperti CBDRM dapat diperluaskan secara berterusan dengan menjadikan negara-negara seperti Jepun sebagai contoh dalam membina masyarakat yang mampu pulih dengan cepat selepas bencana.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farah Faridah Baptish. Foto AIZAT ZAINAL

Beliau percaya, apabila setiap komuniti memahami risiko di kawasan masing-masing serta tahu apa yang perlu dilakukan ketika kecemasan, sasaran melahirkan rakyat Malaysia yang benar-benar berdaya tahan bencana mampu direalisasikan.

“Setiap kawasan mempunyai cabaran yang berbeza. Selaku Rakan NADMA, NGO seperti kami akan terus bekerjasama dengan pihak NADMA dan komuniti dalam memastikan pelaksanaan program CBDRM diteruskan dan diperluaskan kepada akar umbi,” ujar Farah.

 Lebih daripada sekadar latihan bencana

 CBDRM tidak hanya mengajar cara menyelamatkan diri ketika banjir.

Sebaliknya, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang membantu komuniti memahami risiko kawasan mereka sendiri.

Kesemua aktiviti ini bertujuan membentuk komuniti yang mampu menjadi initial responder sebelum bantuan kerajaan tiba.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan melalui Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) / Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti

Mampukah Malaysia melahirkan rakyat berdaya tahan bencana?

Sejak Garis Panduan CBDRM diperkenalkan pada tahun 2024, lebih 60 program CBDRM fokus kepada komuniti sasaran telah dilaksanakan melibatkan lebih 6,000 peserta di seluruh negara dan dijangka terus diperluaskan ke lebih banyak komuniti berisiko. NADMA sedang memperhebat TOT CBDRM kepada Rakan NADMA dalam melaksanakan program CBDRM.

Masa depan pengurusan bencana bergantung kepada sejauh mana kita berjaya membudayakan kesiapsiagaan dalam kehidupan masyarakat.

Hasrat NADMA adalah untuk melihat setiap komuniti di Malaysia mempunyai pelan tindakan bencana sendiri, mengenali risiko setempat, mempunyai rangkaian sukarelawan yang aktif dan mampu bertindak secara tersusun apabila berdepan kecemasan.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Datuk Hussain Moh (tengah) sertai Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Kampung Semaloi, Endau, Johor. Foto AIZAT ZAINAL

Jika setiap individu memahami peranannya, setiap komuniti bersedia menghadapi risiko dan setiap organisasi memainkan tanggungjawab masing-masing, Malaysia bukan sahaja akan menjadi sebuah negara yang lebih selamat, malah sebuah negara yang benar-benar berdaya tahan.

Kerana pada akhirnya, komuniti yang bersedia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, tetapi juga melindungi masa depan generasi akan datang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here