Narindran (baju biru) dan Jayruban (baju hitam) didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pekerja kedai cuci kereta dan pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan dua lelaki dalam kejadian di sebuah kelab malam, pada Jumaat lalu.

Tertuduh, R. Jayruban, 27, dan R. Narindran, 32, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, Jayruban didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di Kelab Maejousz, Pulau Tikus di sini, jam 3 pagi pada 14 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berasingan, Narindran didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan jaminan RM6,000 terhadap Jayruban dan RM5,000 terhadap Narindran.

Bagaimanapun, peguam, S. Meharaj memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan minima dengan mengambil kira faktor keluarga kedua-dua tertuduh selain mereka menyerah diri ketika mereka dipanggil pihak polis.

Menurutnya, Jayruban yang bekerja di sebuah kedai cuci kereta dengan pendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung ibunya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi selepas bapanya meninggal dunia, selain dua adiknya yang masih belajar.

“Bagi Narindran pula, dia bekerja sebagai pemandu lori ialah pencari nafkah tunggal untuk isteri dan dua anak berusia tiga tahun dan lapan bulan.

“Narindran turut menjaga bapanya yang menghidap angin ahmar dan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Jayruban diikat jamin RM5,000, manakala Narindran RM3,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September depan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here