Dr Xavier Jayakumar PKR Parti Bangsa Malaysia
Dr Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang dibuka pada 2021 susulan kekurangan keterangan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Untuk rekod, SPRM membuka dua kertas siasatan pada 2021 mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

“Selepas siasatan dan penelitian terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan dilaksanakan, Timbalan Pendakwa Raya membuat keputusan Kemas Untuk Simpan (KUS) pada 2024 kerana tiada keterangan mencukupi untuk menuduh Xavier,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, bahawa tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada kompleksiti kes serta keperluan untuk mendapat, meneliti dan mengesahkan maklumat serta keterangan yang berkaitan.

SPRM turut menegaskan, setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berdasarkan fakta serta keterangan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan sudah selesai,” katanya.

Semalam, media melaporkan, bekas Ahli Parlimen Kua Kia Soong mempersoalkan status siasatan rasuah terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar memandangkan tiada pengesahan sama ada beliau didakwa, disabitkan kesalahan atau dibebaskan daripada sebarang salah laku.

Kua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995 berkata, ketiadaan penjelasan mewujudkan jurang akauntabiliti serta menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti institusi yang bertanggungjawab menyiasat rasuah.

Xavier baru-baru ini mengesahkan kembali menyertai PKR, lima tahun selepas meninggalkan parti itu.

Pada 2022, beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia namun tidak mendedahkan sebab meninggalkan PKR.

Ketika meletakkan jawatan daripada PKR, Xavier sedang disiasat SPRM susulan penahanan rakan karibnya, M A Thinagaran.

Thinagaran ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat bagi projek yang dianugerahkan kepada mereka oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 2019, ketika Xavier mengetuai kementerian itu sebagai menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Laporan awam terakhir pada Mac 2022 menyebut bahawa siasatan SPRM terhadap Xavier masih berjalan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here