KUALA LUMPUR – Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi meningkat bagi tempoh 20 Ogos hingga 26 Ogos 2026, seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.
Harga runcit RON97 meningkat sebanyak 10 sen seliter kepada RM4.25 seliter dan harga RON95 tanpa subsidi naik 15 sen kepada RM3.77.
Manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 20 sen seliter kepada RM4.67 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.
Menurutnya, selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.
Setakat ini, Amerika Syarikat dan Iran masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian konflik tersebut dan konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia.
Dalam tempoh pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM), Ukraine telah menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.
“Selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.
“Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia,” katanya.
Namun, Kerajaan Madani bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
Melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, pengguna yang layak di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, sekitar 47% daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.
Bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) kerajaan menanggung subsidi sejumlah RM2.57 seliter, atau 55% daripada harga diesel tanpa subsidi ditanggung.
Harga BUDI95 dan BUDI Diesel masing-masing masih kekal RM1.99 dan RM2.10 seliter.
Manakala Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
Menurutnya, melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli
RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan
dan baki kelayakan bulanan masing-masing. – MalaysiaGazette
















