PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan surat tawaran kepada Oppstar Technology Sdn. Bhd. dan Alphaswift Industries Sdn. Bhd. bagi memperoleh akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA).
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan penyedia teknologi semikonduktor global, Arm Limited (Arm) yang bertujuan memperkukuh ekosistem reka bentuk litar bersepadu (IC) dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, akses kepada teknologi pengkomputeran Arm itu membolehkan syarikat tempatan mempercepatkan aktiviti reka bentuk mikrocip dan pembangunan mikroelektronik termaju termasuk dalam sektor dron.
“Setakat ini, sebanyak lapan akses teknologi Arm melibatkan empat Arm CSS dan empat token Arm Flexible Access telah ditawarkan kepada lima syarikat tempatan yang memenuhi kriteria teknikal ditetapkan.
“Kerjasama dengan Arm ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk beralih daripada kekuatan tradisional dalam pemasangan, pempakejan dan pengujian cip kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk cip serta penyelidikan dalam teknologi termaju,” katanya dalam majlis penyerahan surat tawaran tersebut di kementerian di sini hari ini.
Mengulas mengenai pembangunan bakat, Akmal Nasrullah memberitahu, sehingga kini, seramai 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training daripada sasaran keseluruhan 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.
Katanya, kerajaan mahu akses teknologi global ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak reka bentuk cip, harta intelek dan produk bernilai tinggi yang dibangunkan di Malaysia.
Menurut beliau, ia adalah asas untuk melahirkan syarikat dan jurutera tempatan yang mampu membawa produk cip tempatan ke pasaran global.
“Bagi memperkukuh saluran bakat, persetujuan bersama dengan 12 universiti, dengan sokongan kementerian, agensi dan industri telah dicapai untuk menyokong pelaksanaan program Arm On-Demand Training secara lebih tersusun.
“Sinergi antara universiti dan industri penting supaya latihan yang disediakan benar-benar sepadan dengan keperluan syarikat.
“Kita perlu beralih daripada mengejar kekurangan bakat kepada membina perancangan bakat yang tersusun kerana bakat mesti dibina sebelum permintaan industri menjadi kritikal,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat teknologi tempatan yang berkelayakan dan mempunyai keupayaan pembangunan produk serta reka bentuk cip untuk memanfaatkan peluang di bawah kerjasama strategik itu.
Katanya, penyertaan lebih luas daripada industri tempatan penting bagi mempercepat pembangunan teknologi dan harta intelek Made by Malaysia serta memperkukuh kedudukan negara dalam ekosistem semikonduktor global. – MalaysiaGazette
















