JOHOR BAHRU – Johor berjaya menarik potensi pelaburan bernilai lebih RM5 bilion hasil siri pertemuan dengan pelabur-pelabur Singapura semasa lawatan kerja ke repubik tersebut semalam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkembangan berkenaan mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap negeri ini sebagai destinasi pelaburan dan hab pertumbuhan baharu di rantau ini.
“Potensi pelaburan tersebut melibatkan beberapa sektor strategik dan berteknologi tinggi antaranya teknologi optik berkelajuan tinggi, sektor teknologi kesihatan dan peralatan pembuatan semikonduktor.
“Sektor-sektor ini penting kerana bukan sahaja membawa pelaburan, tetapi juga teknologi, kepakaran dan peluang pekerjaan baharu ke Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu antara perkara utama yang diberikan perhatian oleh pelabur ialah ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Katanya, bagi pelabur yang mahu berkembang dalam industri berteknologi tinggi, bukan sahaja infrastruktur dan kemudahan penting, tetapi keyakinan bahawa Johor mempunyai tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri mereka.
Atas sebab itu katanya, pembangunan bakat melalui Johor Talent Development Council (JTDC) terus menjadi keutamaan.
“Kita mahu latihan dan pembangunan kemahiran dibuat berdasarkan keperluan sebenar industri, supaya apabila pelaburan masuk, anak-anak Johor sudah bersedia untuk mengisi pekerjaan yang diwujudkan,” katanya.
Pada masa sama ujarnya, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) akan terus membantu memudah cara dan mempercepatkan urusan pelaburan.
“Semoga segala potensi pelaburan yang diterokai ini dapat direalisasikan dan membuka lebih banyak pekerjaan berkualiti serta peluang yang lebih luas kepada rakyat Johor.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memastikan setiap pelaburan yang masuk membawa manfaat kepada negeri dan Bangsa Johor,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















