Nasi Lemak kegemaran rakyat Malaysia. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2025

Oleh:  Noor Aslinda Abu Seman

MUNGKIN bukan sekadar Jalur Gemilang yang berkibar di tepi jalan. Bukan juga hanya lagu patriotik yang berkumandang sepanjang bulan Ogos. Kadangkala, rasa Malaysia hadir dalam sesuatu yang jauh lebih dekat dengan kehidupan seharian, makanan di atas meja.

Di satu meja, nasi lemak boleh bertemu roti canai, satay, char kway teow, laksa, nasi kerabu dan pelbagai lagi hidangan yang datang daripada latar budaya berbeza. Kita mungkin mempunyai bahasa, adat dan tradisi yang tidak sama, tetapi makanan memberi kita satu ruang untuk berkongsi pengalaman. Itulah menariknya Malaysia.

Kajian Malaysian Food Barometer yang melibatkan 2,000 responden di seluruh negara turut menunjukkan hubungan rapat antara makanan dengan identiti masyarakat. Nasi lemak, misalnya, menjadi hidangan yang paling banyak dikaitkan dengan representasi Malaysia, dipilih oleh lebih 40% responden. Roti canai dan satay turut berada dalam senarai makanan
yang kuat dikaitkan dengan identiti negara.

Namun, makanan bukan hanya tentang identiti. Makanan juga tentang pilihan. Setiap hari, pengguna membuat keputusan yang kelihatan kecil tetapi sebenarnya mempunyai kesan besar. Nak makan di warung atau restoran francais? Nak beli produk tempatan atau jenama antarabangsa? Nak masak sendiri atau pesan melalui aplikasi penghantaran? Nak pilih makanan yang murah, cepat, sedap atau yang mempunyai cerita dan nilai tersendiri? Inilah yang menarik tentang tingkah laku pengguna.

Pengguna tidak semestinya membeli kerana lapar semata-mata. Pilihan makanan boleh dipengaruhi oleh rasa, harga, kebersihan, pengalaman, keselesaan, kebiasaan, cadangan rakan dan keluarga, malah identiti diri. Ada pengguna yang memilih makanan tertentu kerana mengingatkan mereka kepada kampung halaman atau zaman kanak-kanak. Ada pula yang
memilih jenama tempatan kerana mahu menyokong perniagaan rakyat Malaysia.

Tetapi rasa cinta kepada makanan tempatan sahaja tidak semestinya menjamin pembelian. Pengguna boleh sangat bangga dengan nasi lemak, tetapi tetap memilih restoran antarabangsa apabila harganya lebih menarik, servis lebih pantas atau pengalaman pelanggan lebih baik. Di sinilah pengusaha makanan perlu melihat perkara ini daripada sudut yang lebih luas. Produk yang baik perlu bertemu dengan operasi yang baik.

Bayangkan sebuah kedai menjual nasi lemak yang sangat sedap. Sambalnya istimewa, ayamnya rangup dan resepinya diwarisi daripada keluarga. Tetapi kedai sering kehabisan lauk, pesanan lambat sampai, kualiti makanan berubah-ubah atau pelanggan terpaksa menunggu terlalu lama. Akhirnya, pengguna mungkin tidak datang semula.

Masalahnya bukan pada rasa semata-mata. Masalahnya ialah operasi. Pengurusan operasi menentukan bagaimana makanan itu sampai kepada pengguna secara konsisten, daripada mendapatkan bahan mentah, menyimpan stok, menyediakan makanan, mengawal kualiti, mengurus pekerja sehinggalah kepada proses pembungkusan dan penghantaran.

Dalam industri makanan, perkara ini sangat penting kerana pengguna membeli pengalaman keseluruhan, bukan sekadar makanan. Jika harga meningkat, pengguna mahu tahu mengapa. Jika masa menunggu lama, pengguna mahu penjelasan. Jika makanan yang diterima tidak sama seperti gambar yang dipaparkan, kepercayaan boleh hilang. Sebaliknya, apabila kualiti konsisten, pesanan tepat dan servis pantas, kemungkinan pelanggan untuk kembali menjadi lebih tinggi.

Ini menjadi semakin penting apabila cara rakyat Malaysia membeli makanan turut berubah. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan purata perbelanjaan penggunaan isi rumah pada 2024 ialah RM5,566 sebulan. Makanan dan minuman menyumbang 15.7%, manakala restoran dan perkhidmatan penginapan mencatatkan 17.0%. Ini menunjukkan makanan di
luar rumah mempunyai ruang yang besar dalam perbelanjaan pengguna.

Pada masa yang sama, makanan semakin mudah dibeli melalui platform digital. Pengguna tidak lagi perlu berjalan ke kedai untuk membuat pilihan. Mereka boleh melihat gambar, membaca ulasan, membandingkan harga dan membuat pesanan hanya melalui telefon. Perubahan ini menjadikan persaingan lebih sengit.

Bagi pengusaha makanan tempatan, cabarannya bukan lagi sekadar menghasilkan makanan yang sedap. Mereka perlu memastikan produk mudah ditemui, harga munasabah, pembungkusan menarik, pesanan tepat dan penghantaran berjalan lancar. Dalam dunia digital, operasi yang lemah boleh menjadi masalah pemasaran.

Satu pesanan yang salah mungkin menghasilkan ulasan negatif. Penghantaran yang terlalu lambat boleh membuatkan pelanggan beralih kepada pesaing. Sebaliknya, operasi yang cekap boleh menjadi kelebihan yang membuatkan pelanggan kembali.
Sebab itu makanan tempatan perlu bergerak daripada sekadar menjual “rasa Malaysia” kepada menawarkan pengalaman Malaysia yang berkualiti.

Cerita tentang resipi keluarga, bahan tempatan dan warisan memang mampu menarik perhatian. Tetapi cerita itu perlu disokong oleh produk yang konsisten. Promosi Merdeka mungkin menarik pelanggan untuk mencuba, tetapi operasi yang baik menentukan sama ada pelanggan akan datang semula.

Di sinilah tingkah laku pengguna dan pengurusan operasi bertemu. Pengguna menentukan apa yang mereka mahu. Pengusaha pula perlu memastikan organisasi mampu menyampaikan apa yang dijanjikan. Dan kesannya bukan kecil. Apabila pengguna memilih perniagaan makanan tempatan, wang tersebut bergerak dalam ekosistem yang lebih luas, daripada petani dan pembekal kepada pengusaha, pekerja, penghantar dan komuniti setempat.

Dalam industri halal sahaja, Malaysia merekodkan sumbangan RM118.2 bilion atau 7.94% kepada KDNK pada suku ketiga 2025, menunjukkan bahawa industri makanan mempunyai peranan ekonomi yang jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi selera. Maka, sempena Merdeka, mungkin sudah tiba masanya kita melihat makanan daripada perspektif yang sedikit berbeza.
Makanan bukan sekadar apa yang kita makan. Ia adalah apa yang kita pilih untuk sokong. Kepada pengguna, pilihan itu boleh menjadi satu bentuk sokongan kepada usahawan tempatan.

Kepada pengusaha pula, rasa bangga terhadap produk Malaysia perlu diterjemahkan kepada kualiti, harga yang berpatutan, servis yang baik dan operasi yang cekap. Jangan hanya menjual kerana “produk tempatan”. Pastikan pengguna memilih kerana produk itu memang berbaloi untuk dipilih.

Jadi, sempena Merdeka tahun ini, cuba buat satu perkara mudah. Pergilah ke kedai tempatan. Cuba makanan daripada budaya yang berbeza. Sokong peniaga kecil. Pesan produk buatan Malaysia. Dan jika makanannya sedap, jangan simpan sendiri,
kongsikan dan cadangkan kepada orang lain. Kerana setiap pembelian sebenarnya adalah satu undi.

Undi untuk produk yang mahu kita lihat terus hidup. Undi untuk perniagaan yang mahu kita bantu berkembang. Dan akhirnya, undi untuk bentuk Malaysia yang mahu kita bina. Kita mungkin tidak mempunyai selera yang sama. Tetapi kita masih boleh duduk di meja yang sama. Satu Malaysia. Banyak rasa. Satu meja. Dan mungkin, satu pilihan kecil daripada kita boleh
membantu menjadikan Malaysia lebih kuat.

Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Noor Aslinda Abu Seman

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here