MELAKA – Tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal berlabuh di Klebang buat pertama kali sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini untuk dipertontonkan kepada orang ramai bersama pelbagai aset dan demonstrasi ketenteraan.
Kehadiran tiga kapal perang itu, Kapal Diraja (KD) Terengganu, KD Gempita dan KD Laksamana adalah antara 19 aktiviti utama Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau Kerjasama Awam-Tentera yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendekati pasukan keselamatan serta melihat sendiri aset, kepakaran dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Program ini bukan sekadar sambutan Hari Kebangsaan, tetapi turut menjadi platform untuk mendekatkan tentera dengan rakyat selain memberi pendedahan mengenai peranan serta keupayaan mereka dalam mempertahankan negara.
“Buat pertama kali, tiga kapal perang TLDM akan berlabuh di Klebang dan orang ramai berpeluang melihat aset pertahanan secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui dalam sesi wawancara bersama MelakaFM.

Hee Sem berkata, selain kapal perang, pengunjung turut berpeluang melihat pameran statik aset pertahanan termasuk meriam artileri dan kenderaan tempur atau taktikal.
Katanya, beberapa demonstrasi ketenteraan turut disediakan termasuk pertunjukan Army Red Warrior, Guns In Action, demonstrasi tanpa senjata, unit anjing perang (K9), kawad senyap serta aksi Commando Storm.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Heli Air Show dan Aircraft Flying Pass, selain demonstrasi bot laju serta pameran kapal TLDM.
“Ini tentunya memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung kerana mereka bukan sahaja datang untuk menyambut Hari Kebangsaan, tetapi dapat melihat sendiri keupayaan anggota dan aset pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata, CIMIC turut mengetengahkan aktiviti interaktif membabitkan orang awam termasuk Army Warrior Challenge dan Survival Village yang mempamerkan teknik ikhtiar hidup dalam hutan.
Tambah Hee Sem, sambutan yang bermula pada 29 Ogos membolehkan orang ramai turut boleh menyertai program Melaka Berselawat bersama Habib Syech AsSegaf.
“Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos pula dimeriahkan persembahan kebudayaan dan patriotik termasuk artis jemputan seperti Amy Search, Ziana Zain dan Charly Van Houten.
“Acara kemuncak pada 31 Ogos menyaksikan perarakan utama, perbarisan kontinjen, persembahan dan demonstrasi ketenteraan serta perarakan kereta berhias daripada agensi Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program berkenaan diharap dapat menarik kehadiran orang ramai, khususnya keluarga, untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan sambil menghayati semangat patriotisme dan perpaduan. – MalaysiaGazette
















