KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu terus melakar kecemerlangan apabila menerima pengiktirafan daripada
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia atas pencapaian 100% kualiti data MyMoHEs, sekali gus mengekalkan Penarafan Lima Bintang selama tiga tahun berturut-turut.
Pengiktirafan ini diterima sempena Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030, baru-baru ini.
Sistem MyMoHEs yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi merupakan platform strategik yang mengumpul dan menilai data institusi pendidikan tinggi meliputi aspek pelajar, staf, penyelidikan, kewangan serta tadbir urus.
Penilaian kualiti data dalam sistem ini menitikberatkan ketepatan, kesempurnaan, konsistensi dan pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan oleh kementerian.
UMT berkata, pencapaian ini mencerminkan tahap integriti, ketelitian serta kematangan tadbir urus data yang tinggi
dalam kalangan warga universiti.
“Pencapaian 100% ini menunjukkan UMT telah berjaya memastikan data yang dihantar adalah lengkap, tepat dan boleh dipercayai, mengamalkan proses kerja yang sistematik dalam penyediaan, semakan dan pengesahan data serta
mengukuhkan budaya kerja berasaskan data dalam setiap peringkat organisasi.
“Usaha kolektif ini membolehkan UMT memenuhi standard tinggi yang ditetapkan oleh KPT, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi yang berdaya saing dan berintegriti,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) memangku Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr. Suriyani Muhamad dalam satu kenyataan berkata, pencapaian ini merupakan bukti warga universiti sentiasa komited dalam memastikan standard piawaian yang digariskan oleh KPT dalam pelaksanaan pengurusan universiti termasuk pengurusan data yang efisyen.
“Data yang berkualiti adalah asas kepada keputusan yang tepat. Kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin untuk UMT memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecemerlangan institusi,” katanya.
Selain itu, pengiktirafan ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong perancangan dasar pendidikan tinggi negara, penilaian prestasi institusi dan penarafan universiti serta peningkatan kebolehpasaran graduan serta keberkesanan program akademik.
UMT berkata, ia akan terus memperkasakan sistem pengurusan data serta memperkukuh budaya membuat keputusan berasaskan bukti dalam usaha memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi. – MalaysiaGazette
















