KUALA LUMPUR – Sebuah kereta jenis Renault Captur terbakar 100 peratus selepas dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Honda City di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) menghala Mid Valley, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian NG999 pada jam 12.37 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah ke lokasi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, operasi membabitkan sebuah jentera FRT-1 dan RIM-2 dengan kekuatan sembilan anggota.
Komander Operasi PBK I Muhammad Amirudin Mohd Hassan berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati Renault Captur (VDE 1868) terbakar sepenuhnya.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah Renault Captur yang telah melanggar bahagian belakang Honda City (VJE 6676) sebelum terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hose reel daripada jentera dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.21 petang.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Menurut JBPM, operasi seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette
















