KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan Rabu dan Khamis ini bagi menyambung perbicaraan kes Janawibawa melibatkan tujuh pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Prosiding dua hari itu dijadual didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-25, Datin Rosni Mohd. Yusoff yang antara lain memberitahu Kementerian Kewangan mendapat arahan daripada `pihak atasan’ berhubung pemprosesan permohonan projek Janawibawa.
Beliau yang ketika itu Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan berkata, arahan itu diberikan kepada ketuanya yang juga Setiausaha Bahagian, Datuk Zamzuri Abdul Aziz supaya hanya memproses permohonan syarikat yang disyorkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Katanya, selain itu, PMO turut mengarahkan kementerian menjalankan penilaian semula terhadap KCJ Engineering Sdn. Bhd. sebelum dilantik sebagai kontraktor bagi Projek Membina Jalan Baharu Menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan.
Sebelum itu, Rosni yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Janawibawa berkata, syarikat itu lulus dua penilaian, namun `sangkut’ di peringkat ketiga kerana mempunyai projek `sakit’ dan prestasi kerja semasa yang tidak memuaskan.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.
Ia berkaitan Projek Janawibawa melibatkan empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















