Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Penyertaan bekas Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya dalam politik, wajar dihormati kerana beliau mempunyai pengalaman lapangan yang luas dan aset yang boleh dimanfaatkan dalam perjuangannya.

Presiden Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, beliau mempunyai rekod bersih, keberanian memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara serta pengalaman puluhan tahun dalam aktivisme di samping latar profesional sebagai akauntan.

“Beliau memilih untuk terjun ke gelanggang politik, kita seharusnya membuka ruang dan memberikan sokongan, bukan mempersoalkan pilihannya.

“Saya menghormati keputusan beliau memilih politik sebagai medan perjuangan, malah beliau juga pernah menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Keputusan ini tidak sepatutnya menyebabkan rakan-rakan daripada kalangan aktivis, gerakan masyarakat dan NGO menjauhkan diri, sebaliknya perlu diraikan dan disokong,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook.

Aminuddin Yahaya

Media semalam melaporkan, Parti Wawasan Negara (Wawasan) menerima kemasukan tokoh NGO Islam itu dan perkembangan tersebut dilihat memberi suntikan baharu kepada usaha parti memperkukuh kedudukannya dalam politik negara.

Aminuddin bukan nama asing dalam gerakan NGO Islam negara dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Beliau turut mempunyai pengalaman politik apabila bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Temerloh atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA).

Menurut Zainul Rijal, beliau yang pernah berjawatan timbalan Pembela ketika Aminuddin menjadi Presiden berkata, pilihan untuk terjun ke gelanggang politik tidak seharusnya dipersoal.

“Jika beliau berjaya diberi mandat, sokongan daripada jaringan masyarakat sivil, aktivis dan NGO perlu terus diberikan agar beliau tidak bersendirian dalam membawa agenda yang diyakini.

“Politik tidak akan berubah hanya dengan kita mengeluh dari luar. Politik perlu diperbaiki dengan menghadirkan lebih ramai orang yang baik ke dalamnya.

“Jika kita benar-benar mahukan politik yang bersih, berintegriti dan berorientasikan kepentingan rakyat, maka orang yang mempunyai prinsip dan ketokohan perlu kita sokong apabila mereka memilih untuk’ menjadi sebahagian daripada sistem,” ujarnya.

Sambil mendoakan agar penglibatan beliau dalam politik membawa manfaat yang lebih besar kepada masyarakat, agama dan negara, Zainul Rijal yakin Aminudin akan terus istiqamah dengan prinsip, tidak hanyut dengan kuasa dan sentiasa meletakkan amanah rakyat mengatasi kepentingan peribadi atau politik.

“Kita perlukan lebih ramai orang baik dalam politik, bukan lebih ramai orang baik yang takut untuk masuk politik.

“Kenyataan ini tidak terpakai kepada saya kerana saya tidak berminat menceburi bidang politik,” ujarnya yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here