Tangkap layar keratan media berhubung kejadian.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan menahan seorang lelaki berusia 62 tahun bagi membantu siasatan kes seorang warga emas cedera parah selepas dipukul menggunakan sebatang besi di Jalan Perak di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek ditahan selepas polis menerima maklumat awam berhubung kejadian pergaduhan jiran kira-kira jam 9.55 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi apabila mangsa, lelaki warga tempatan berusia 80 tahun, dipukul suspek yang juga jirannya menggunakan sebatang besi di hadapan rumah.

“Akibat daripada pukulan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian tangan serta kaki dan kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Susulan itu, pihak polis menahan suspek selain merampas sebatang besi yang digunakan dalam kejadian itu di rumahnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Abdul Rozak, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek dipercayai punca kejadian tersebut.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki warga emas cedera dilanggar sebelum dipukul dengan besi

Terdahulu, media melaporkan seorang warga emas cedera dan dipercayai patah kaki kiri selepas dilanggar menggunakan motosikal dan dipukul berulang kali menggunakan sebatang besi dalam kejadian di Jalan Perak di sini.

Video berdurasi 15 saat mengenai kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan mangsa terbaring berhampiran sebuah motosikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here