OSLO: Kesihatan Raja Norway, Harald V, 89, yang kini dirawat di hospital akibat komplikasi berkaitan masalah darah, “merosot” sepanjang hujung minggu.
Kenyataan istana memaklumkan, Harald yang memerintah paling berusia di Eropah itu sedang dirawat kerana anemia hemolitik, iaitu keadaan yang berlaku apabila sel darah merah musnah pada kadar luar biasa pantas, menyebabkan keletihan, pucat dan sesak nafas.
“Kesihatan Harald merosot sepanjang hujung minggu dan kini menerima rawatan antibiotik bagi jangkitan bakteria dalam darah dan memberikan tindak balas terhadap rawatan tersebut,” tambah kenyataan itu.
Harald dimasukkan ke Hospital Universiti Oslo pada Isnin lalu akibat pengumpulan cecair dalam badan susulan rawatan kortison yang diterimanya dan diberikan cuti sakit selama dua minggu.
Istana sebelum ini memaklumkan raja itu membatalkan lawatan ke wilayah tengah Trondelag yang dijadualkan pada 1 dan 2 September, selepas tempoh cuti sakit yang diumumkan sebelum ini berakhir.
Beberapa anggota keluarganya turut melawat baginda di hospital.
Akhbar Verdens Gang melaporkan isterinya, Ratu Sonja, anak mereka, Putera Mahkota Haakon yang menjalankan tugas sebagai pemangku raja ketika Harald tidak dapat menjalankan tugas, serta isteri Haakon, Puteri Mahkota Mette-Marit, melawat baginda pada Ahad. Adik perempuan Raja itu turut berbuat demikian.
Tiada seorang pun daripada mereka memberikan kenyataan ketika meninggalkan hospital.
Harald Norway menaiki takhta pada 1991 dan berdepan pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk terpaksa menggunakan alat perentak jantung serta mengurangkan jadual rasmi baginda.
Bagaimanapun, Harald sentiasa menolak kemungkinan untuk turun takhta, dengan alasan baginda telah mengangkat sumpah seumur hidup di hadapan Parlimen Norway.
Pada Februari lalu, baginda dimasukkan ke hospital akibat jangkitan dan dehidrasi ketika berada di Tenerife dalam perjalanan persendirian bersama Ratu Sonja.
Isterinya, yang turut berusia 89 tahun, juga dimasukkan ke hospital buat sementara waktu pada Mei lalu akibat masalah jantung.
Masalah kesihatan Harald berlaku ketika keluarga diraja Norway berdepan tempoh penuh pergolakan. Mette-Marit kini mendapat perhatian susulan hubungannya dengan mendiang pesalah seks dari Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein.
Dokumen yang diterbitkan di Amerika Syarikat pada Januari mendedahkan surat-menyurat berterusan dan kadangkala bersifat intim antara Mette-Marit dengan Epstein dari 2011 hingga 2014, ketika taikun kewangan Amerika itu sudah pun disabitkan kesalahan.
Anak lelaki Mette-Marit daripada perkahwinan terdahulu, Marius Borg Hoiby, turut menjadi perhatian susulan masalah perundangannya.
Beliau dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada Jun lalu atas dua kesalahan rogol dan 32 pertuduhan lain, termasuk keganasan terhadap bekas pasangan. Bagaimanapun, beliau telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Mette-Marit, 53, yang turut menghidap penyakit paru-paru serius, menjalani pemindahan paru-paru pada Julai lalu. – Agensi
















