Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas pendaki Gunung Everest, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin membida tongkat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 tidak wajar dilihat sebagai sikap taksub terhadap pemimpin.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu lebih kepada semangat untuk menyumbang kepada perjuangan parti, selain sebagai kenangan bersama pemimpin.

“Orang yang membida tongkat Ayahcik RM15,000 bukan kerana taksub tetapi semangat menyumbang untuk perjuangan parti sendiri dan kenangan dengan pemimpin.

“Itu semangat yang patut ada pada semua ahli parti dalam parti mana sekalipun kerana parti hidup dengan sumbangan ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu bidaan tongkat Abdul Hadi yang mendapat perhatian selepas dibida pada harga RM16,500.

Malam tadi, Muhamad Muqharabbin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Lembah Pantai membeli tongkat Ahli Parlimen Marang itu pada harga RM16,500.

Tongkat tertera ‘TGHH’ yang bermaksud ‘Tuan Guru Haji Hadi’ itu dilelong bagi membantu jentera Pas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Tambah Khairuddin, beliau sendiri pernah menyertai bidaan dalam muktamar Pas sebelum ini sebagai tanda sokongan dan sumbangan kepada parti.

“Dulu pun saya pernah membida dalam muktamar Pas untuk sumbangan RM4,000,” katanya.

Khairuddin berkata, perbezaan fahaman atau parti politik tidak seharusnya menyebabkan semua perkara yang dilakukan pihak lain dilihat secara negatif.

“Walaupun berbeza parti, tidak semua benda perlu dilihat salah.

“Kita berpada-pada apabila berbeza. Jangan bersikap ‘ghuluw’ (melampau),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here