PETALING JAYA – Perdana Menteri mahu penggiat industri kreatif diberikan lebih banyak ruang untuk berkarya dan menyampaikan pandangan tanpa berdepan kawalan yang terlalu ketat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan dalam bidang seni penting kerana kreativiti dan pemikiran kritis merupakan antara asas kepada perkembangan sesebuah industri kreatif, terutama perfileman.

“Saya tidak mahu disifatkan liberal oleh golongan konservatif, tapi kita kena terima hakikat kita perlu lebih terbuka, ruang harus diberikan supaya penggiat seni tidak rasa terkongkong.

“Acuan Timur kekal dengan budaya dengan nilai tapi lebih terbuka,” katanya ketika berucap merasmikan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Damansara Damai di sini hari ini.

Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri), menandatangani plak perasmian ketika Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (kiri), Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Dr Gerald Hans Isaac (dua, kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif, FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib di Menara FINAS, Damansara Damai, Sungai Buloh, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2026

Anwar berkata, keterbukaan yang diperlukan dalam industri kreatif tidak bermaksud negara perlu mengetepikan identiti sendiri atau menerima bulat-bulat pengaruh dari luar.

Sebaliknya, beliau berpandangan nilai, budaya dan akhlak masyarakat Timur perlu terus menjadi asas, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghadkan kreativiti penggiat seni.

Menurutnya, perkembangan masyarakat dan perubahan citarasa khalayak, khususnya generasi muda, perlu diambil kira dalam menentukan hala tuju industri kreatif negara.

“Saya tak mahu menggambarkan diri saya terlalu liberal kerana akan dikecam golongan ultra konservatif tetapi kalau mahu negara ini maju, tentunya harus terima kenyataan anak muda dan khalayak menginginkan suasana lebih bebas dan terbuka.

“Namun, ini tak bermakna perlu ikut acuan Barat dan acuan Timur pula tidak semestinya mesti ikut aliran neokonservatif. Aliran Timur harus kekal dengan nilai, budaya dan akhlak tetapi perlu terbuka,” katanya dalam nada tegas.

Tambah beliau, pendekatan terlalu ketat dan tertutup hanya akan menyebabkan penggiat seni berasa terhad untuk meneroka idea serta menghasilkan karya yang lebih segar dan relevan dengan perkembangan semasa.

“Kalau agak terlalu tertekan dan tertutup, saya bimbang industri seni terutama filem tidak akan berkembang,” ujarnya.

Anwar turut menekankan usaha memperkukuh industri kreatif tidak boleh hanya bergantung kepada peraturan, sebaliknya memerlukan keyakinan terhadap kemampuan penggiat seni untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Pada masa sama, keterbukaan itu perlu bergerak seiring dengan usaha mempertahankan nilai dan identiti tempatan supaya kemajuan industri kreatif tidak menyebabkan masyarakat kehilangan akar budaya sendiri.

Pendekatan lebih terbuka yang ditekankan Perdana Menteri itu dilihat memberi isyarat industri kreatif perlu diberikan kepercayaan untuk berkembang, termasuk memberi ruang kepada karya yang berani, kritis dan mencerminkan realiti masyarakat semasa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here