Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin
Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR – Pembelian tongkat milik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 bukan kerana nilai barangan atau ketaksuban kepada individu, sebaliknya sebagai kenangan dan peringatan sepanjang hayat.

Perkara itu dijelaskan Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin yang berkata, momen berkenaan menjadi antara pengalaman terindah buatnya apabila berpeluang berada dekat dengan tokoh yang disifatkannya sebagai murabbi, selain dapat menyumbang kepada perjuangan Pas Melaka dan Pas Malaysia.

Menurutnya, tongkat berkenaan akan menjadi peringatan keras kepada dirinya bahawa kekuatan, usia dan kudrat manusia tidak akan kekal selama-lamanya.

“Bukan kerana nilai sebuah tongkat, dan bukan kerana taksub kepada manusia.

“Tetapi kerana ia akan menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, tongkat kayu kemuning milik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencuri perhatian apabila dilelong pada harga RM16,500 pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka.

Tongkat tertera parap TGHH yang bermaksud ‘Tuan Guru Haji Hadi’ itu dilelong khas dengan persetujuan Abdul Hadi bagi membantu jentera Pas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Muqharabbin berkata, ketika masih diberikan kesihatan dan kekuatan, seseorang perlu terus berjuang dalam bidang masing-masing tanpa menunggu sehingga kudrat semakin terbatas.

Katanya, beliau turut mengambil pengajaran daripada hakikat bahawa manusia akan melalui proses penuaan dan kembali kepada keadaan lemah sekiranya dipanjangkan usia.

“Justeru, selagi Allah beri usia dan kudrat, berjuanglah walau di mana kita berada. Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu,” katanya.

Dalam pada itu, Muqharabbin menegaskan penghormatan kepada manusia tidak seharusnya disamakan dengan ketaksuban, malah penghormatan tertinggi umat Islam adalah kepada Rasulullah SAW.

“Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah ﷺ,” katanya.

Mengulas nilai RM16,500 yang dibayar bagi mendapatkan tongkat berkenaan, Muqharabbin menjadikannya sebagai simbol peribadi melalui angka satu, enam, lima dan dua sifar yang masing-masing dikaitkan dengan Ihsan, Iman, Islam dan hakikat bahawa dunia akhirnya ditinggalkan tanpa membawa apa-apa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tafsiran angka berkenaan bukan tafsiran agama, sebaliknya sekadar simbol untuk mengingatkan dirinya supaya terus menjaga Islam, Iman dan Ihsan sehingga akhir hayat.

Muqharabbin turut memetik Surah al-Rahman ayat 26 mengenai hakikat bahawa segala yang ada di bumi akan binasa sebagai peringatan bahawa kehidupan dunia bersifat sementara.

“Sebuah tongkat, sebuah kenangan, tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan perjuangan selagi diberikan usia dan kudrat, selain menyatakan akan bertemu semula pada Muktamar Pas 2026 di Kelantan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here