KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 7 malam Isnin (24 Ogos), menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS).
Di Sarawak, tujuh kawasan melepasi paras tidak sihat, dengan IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi di seluruh negara iaitu 190, diikuti Kuching (181), Samarahan (172), Sri Aman (155), Mukah (151), Bintulu (136) dan Miri (110).
Di luar Sarawak, 14 kawasan turut merekodkan bacaan tidak sihat. Di Selangor, Johan Setia mencatatkan 164, Shah Alam 151 dan Kuala Selangor 117, manakala Sungai Petani di Kedah merekodkan 154 dan Alor Setar 130.
Di Perak, Seri Manjung merekodkan 152, Tanjung Malim 145 dan Tasek Ipoh 119. Cheras di Kuala Lumpur mencatatkan 132, manakala Putrajaya merekodkan 130. Kota Tinggi di Johor dan Segamat turut mencatatkan bacaan tidak sihat masing-masing pada 130 dan 102.
Bukit Rambai di Melaka (118) dan Minden di Pulau Pinang (103) melengkapkan senarai kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat.
Antara kawasan yang mencatatkan bacaan sederhana tertinggi ialah Seberang Perai di Pulau Pinang (99), Batu Muda di Kuala Lumpur (99), Klang di Selangor (99), serta Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan yang masing-masing merekodkan bacaan 99.
Sementara itu, sebanyak 47 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara.
















