KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menyita tiga kenderaan perdagangan selepas didapati membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had yang dibenarkan dalam Ops Rentas Sempadan bersama JPJ Terengganu, baru-baru ini.

Operasi selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Ogos itu dilaksanakan di kawasan sempadan Kuantan dan Kemaman dengan memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan.

Pengarahnya Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata sebanyak 316 kenderaan diperiksa, dengan 112 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 122 Notis Saman JPJ P22 dikeluarkan, manakala 180 notis lain turut dikenakan. Daripada jumlah itu, 43 kes membabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan direkodkan.

“Tiga kenderaan perdagangan yang ditahan untuk pemeriksaan lanjut terdiri daripada dua lori jenis tipper/dumper yang membawa muatan batu serta sebuah lori treler kargo am yang membawa besi bar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga kenderaan berkenaan membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had muatan yang dibenarkan.

Susulan itu, kesemua kenderaan berkenaan disita mengikut Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 untuk tindakan lanjut termasuk proses lucut hak.

Tambahnya operasi berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan bersama JPJ Terengganu bagi memastikan pengusaha kenderaan perdagangan mematuhi peraturan, khususnya berkaitan had muatan.

Menurutnya, penguatkuasaan secara berterusan penting bagi membendung kesalahan membawa muatan berlebihan yang boleh menjejaskan kestabilan kenderaan, menyumbang kepada kerosakan jalan raya serta meningkatkan risiko keselamatan pengguna jalan raya.

Syed Ahmad turut menyeru semua pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi had muatan ditetapkan demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here