Mantan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berucap pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Perbezaan angka antara laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan semakan PricewaterhouseCoopers (PwC) bagi kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji tidak boleh terus dianggap sebagai bukti berlaku kesilapan dalam proses audit, kata Tan Sri Madinah Mohamad.

Bekas Ketua Audit Negara itu berkata, ia kerana kedua-dua laporan berkenaan mempunyai mandat, objektif, skop dan metodologi yang berbeza.

Jelas beliau, audit JAN merupakan audit berkanun berdasarkan Akta Audit 1957 dan Akta Tabung Haji 1995, manakala PwC menjalankan Financial Position Review (Semakan Kedudukan Kewangan; FPR) sebagai penugasan khas dengan terma rujukan berbeza.

“Bila kita membandingkan dapatan JAN dengan semakan PwC, kita perlu faham bahawa kedua-duanya tidak menggunakan mandat, objektif dan metodologi yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.

Madinah berkata, penyata kewangan yang diaudit JAN menunjukkan keuntungan bersih sekitar RM3.4 bilion, manakala FPR PwC menunjukkan defisit atau kerugian sekitar RM1.4 bilion.

Menurutnya, perbezaan tersebut berpunca antaranya daripada kaedah pengiktirafan dan penilaian aset serta pelaburan yang digunakan dalam kedua-dua penugasan.

Beliau berkata, sesuatu pendapat audit perlu dinilai berdasarkan bukti yang tersedia ketika audit dilaksanakan serta piawaian perakaunan dan pengauditan yang berkuat kuasa pada masa berkenaan.

Madinah turut menjelaskan, isu FRSIC Consensus 14, yang menjadi antara asas pelarasan dalam semakan PwC, bukan merupakan piawaian MFRS yang mempunyai kuasa mandatori seperti piawaian pelaporan kewangan yang diluluskan.

Katanya, isu sebenar bukan kewujudan panduan tersebut, tetapi perbezaan tafsiran mengenai kesesuaiannya dalam konteks Tabung Haji.

“Perkara ini merupakan perbezaan tafsiran perakaunan, bukannya isu ketidakpatuhan yang nyata terhadap piawaian audit,” ujarnya. 

Madinah berkata, perbezaan antara laporan JAN dan PwC tidak wajar terus ditafsirkan sebagai bukti bahawa proses audit JAN gagal atau tidak mengesan masalah kewangan Tabung Haji.

Beliau berkata, proses audit perlu dinilai berdasarkan mandat, bukti, piawaian serta pertimbangan profesional yang digunakan pada ketika audit berkenaan dijalankan. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here