Md Israk meninjau projek pertanian moden diusahakan Usaha Agritech Sdn Bhd di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mahu lebih ramai anak muda melihat pertanian daripada perspektif baharu sebagai sektor moden yang berteraskan perniagaan dan teknologi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Md Israk Abdullah berkata, bidang pertanian merupakan satu industri yang membuka ruang luas dalam bidang teknologi, inovasi dan keusahawanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup itu berkata, ini kerana bidang pertanian pada ketika ini bukan sekadar bercucuk tanam tetapi sumber pendapatan lumayan yang diusahakan secara moden.

“Insya-Allah Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datok Onn Hafiz Ghazi akan terus menggalakkan penglibatan generasi muda dalam sektor pertanian serta memperkukuh ekosistem belia tani agar mereka mempunyai lebih banyak ruang dan peluang untuk terus berkembang.

“Alhamdulillah, saya amat teruja melihat usaha pengusaha yang membuka ruang dan memberi peluang kepada anak muda tempatan untuk terlibat secara langsung dalam sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pertanian moden diusahakan Usaha Agritech Sdn Bhd di Taman Impian Emas, Skudai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md Israk berkata, projek syarikat tersebut yang diusahakan menerusi konsep contract farming atau perladangan kontrak dengan menyediakan plot tanaman kepada anak-anak muda untuk diusahakan sebagai usahwan tani.

“Di ladang ini, mereka mengusahakan tanaman kontan berkualiti tinggi, khususnya timun Jepun, dengan mengaplikasikan sistem fertigasi moden serta teknologi penanaman berketumpatan tinggi (HDP).

“Secara keseluruhannya, ladang seluas 3.5 ekar ini menempatkan lebih 30,800 pokok timun Jepun dan digerakkan oleh 11 belia tani,” katanya.

Jelasnya, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk membina masa depan dalam sektor pertanian.

Menerusi penggunaan teknologi, ilmu dan kaedah pertanian moden katanya, sektor itu mempunyai potensi cukup besar untuk diterokai sebagai satu kerjaya dan perniagaan yang mampu menjana pendapatan tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here