SERDANG – Sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya sekadar menjadi acara pesta atau perarakan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan terhadap risalah Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada seluruh umat manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri itu berkata, cabaran utama umat Islam ketika ini adalah memastikan ajaran dan nilai Islam benar-benar dihayati sehingga mampu menjadikan umat Islam sebagai contoh terbaik bukan sahaja kepada sesama Muslim, malah seluruh manusia.
“Cabaran bagi ummah ini ialah soal menghayati. Jadi kalau kita bicara soal Madani, malah dalam konteks kefahaman Islam juga, cabarannya adalah penghayatannya,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1448 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Anwar berkata, Islam tidak seharusnya hanya dipamerkan melalui simbol atau sambutan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui akhlak, keadilan, kebaikan dan sikap saling menghormati dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, mesej Islam perlu disampaikan dengan contoh terbaik, bukannya melalui pendekatan yang boleh menyebabkan orang menjauh atau berasa takut terhadap agama itu.
“Bukan saja orang tidak mahu mudah menerima Islam, tetapi kadang-kadang orang merasa lebih cemas dengan nada Islam. Masalahnya bukan pada orang lain, masalahnya pada diri kita,” katanya.
Beliau berkata, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang perlu diteladani, termasuk dalam usaha membina masyarakat yang berteraskan nilai, prinsip, akhlak dan kecemerlangan.
“Islam itu sebagai contoh yang mampu diteladani oleh umat dan oleh manusia keseluruhannya. Kalau yang mentadbir, mentadbir dengan baik. Kalau profesor, dengan baik. Mahasiswa boleh juga,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, sambutan Maulidur Rasul perlu menjadi pencetus semangat baharu untuk umat Islam meningkatkan kesedaran, melakukan perubahan dan menjadi manusia yang lebih baik serta mampu memberikan contoh kepada umat manusia keseluruhannya.
Beliau berkata, penghayatan terhadap ajaran Rasulullah SAW juga perlu diterjemahkan dengan menolak keangkuhan, penindasan, rasuah, penyelewengan dan kebejatan sosial, selaras dengan nilai yang dibawa Islam.
“Bukan pesta, bukan perarakan, bukan sambutan biasa, tetapi mendorong ke arah penghayatan,” katanya.
Dalam majlis sambutan tahunan itu, lapan individu daripada pelbagai latar belakang dicalonkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1448H/2026, merangkumi kategori Tokoh Perdana, Tokoh Agamawan, Tokoh Wanita Madani, Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif, Tokoh Wira Negara, Tokoh Belia Harapan, Tokoh Keluarga Mithali dan Tokoh Khas Saudara Baru Cemerlang.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, 66, yang mempunyai latar belakang ketenteraan serta aktif dalam bidang penerbangan dan kebajikan masyarakat dipilih sebagai Tokoh Perdana.
Manakala Tokoh Agamawan pula diberikan kepada Maulana Abdul Hamid Chin, manakala Tokoh Wanita Madani ialah Profesor Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Ruzita Mohd Amin.

Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif atau Ikon Minda Citra diberikan kepada bekas Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Bbekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pula diumumkan sebagai Tokoh Wira Negara manakala Tokoh Belia Harapan ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Laman Yasim dari Sarawak pula dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali.
Sementara itu, kategori Tokoh Khas (Saudara Baru Cemerlang) menampilkan Muhammad Mikhael Sathayah yang memeluk Islam pada 1 Muharram 2018 sebelum ibunya turut memeluk Islam pada November 2025. – MalaysiaGazette
















