Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali berucap pada Ceramah Kempen DUN Layang-Layang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kluang, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Kepulangan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pemimpin Otai Reformis dilihat mampu memperkukuh semula parti itu, sekali gus memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan kuasa pada penggal kedua.

Menurut Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban, pengalaman Azmin menguruskan parti ketika Anwar berada dalam penjara membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, situasi itu lebih signifikan selepas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak lagi bersama parti berkenaan.

“Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan prestasi Azmin Ali dalam menguruskan parti sebelum ini lebih baik berbanding Rafizi Ramli.

“Kembalinya beliau mampu mengukuhkan PKR dan meningkatkan peluang Anwar Ibrahim untuk menyambung tugas sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua,” katanya.

Namun begitu, Misrinah berkata, usaha membawa pulang Azmin dan pasukannya memerlukan keterbukaan daripada kepimpinan serta akar umbi PKR untuk memaafkan dan menerima semula bekas pemimpin berkenaan.

Katanya, Azmin merupakan antara kekuatan utama PKR dan Pakatan Harapan (PH), justeru kepulangannya boleh menjadi aset penting dalam usaha mempertahankan kemenangan pada PRU16.

Misrinah Misban
Misrinah Misban

Mengulas lanjut, Misrinah berkata, Azmin perlu mempertimbangkan secara matang keputusan untuk meninggalkan Bersatu ketika parti itu berdepan kelemahan.

“Walaupun begitu, bak sirih pulang ke gagang, bagai belut pulang ke lumpur, Azmin Ali amatlah didambakan oleh Anwar.

“PKR dan Azmin Ali memerlukan antara satu sama lain bagai aur dengan tebing dalam landskap politik tanah air hari ini,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf selain merayu kepada bekas pemimpin dan aktivis parti itu supaya kembali ke landasan perjuangan PKR ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim turut memuat naik gambar bersama bekas pemimpin PKR, Tian Chua dan Xavier Jayakumar ketika kongres berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dijangka menyertai semula PKR susulan gesaan Anwar supaya veteran parti kembali ke pangkuan PKR.

Kamarudin yang juga bekas Timbalan Menteri Luar dilaporkan berminat menyertai Cabang PKR Cheras, manakala PKR Wilayah Persekutuan dikatakan tidak mempunyai masalah untuk menerima kemasukannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here