Para peserta Science Castle Asia 2026.

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) menganjurkan Science Castle Asia 2026 selama dua hari bermula 22 hingga 23 Ogos lalu di Dewan Tuanku Canselor USIM, bagi memperkukuh agenda melahirkan generasi muda berdaya cipta.

Program ini menjadi platform strategik dengan menghimpunkan pelajar, penyelidik muda, pendidik dan pemimpin industri dari pelbagai negara bagi membuka ruang pertukaran idea, memperluas jaringan kerjasama serta memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi dalam bidang STEM.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Cancelor USIM, turut dihadiri oleh Yasue Shuji, Setiausaha Kedua, Kedutaan Jepun di Malaysia bagi meraikan gimik pelancaran Science Castle Asia 2026.

“USIM berbesar hati menjadi sebahagian daripada ekosistem antarabangsa ini, selaras dengan aspirasi kami untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, berdaya saing di peringkat global, dan berpandukan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.” katanya.

USIM buat julung kalinya dipilih sebagai tuan rumah untuk program ini yang menghimpunkan seramai hampir 1,200 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah dari 10 buah negara iaitu Malaysia, Filipina, Singapura, Chinese Taipei, Jepun, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, program ini turut diserikan dengan pelancaran Buku Ulangtahun ke-10 FKAB sempena memperingati satu dekad pencapaian fakulti dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik dengan industri dan institusi di dalam dan luar negara.

“Penerbitan ini berfungsi sebagai rekod berharga perjalanan fakulti sepanjang dekad yang lalu, merakam pencapaian, peristiwa penting, kenangan dan sumbangannya kepada universiti dan masyarakat.

Coffee Book ini juga mencerminkan usaha kolektif kepimpinan fakulti, pensyarah, kakitangan, pelajar, alumni dan rakan kongsi yang telah menyumbang kepada pembentukan FKAB menjadi seperti sekarang.” katanya lagi.

Beliau turut menggalakkan semua peserta Science Castle Asia 2026 untuk menggunakan sepenuhnya platform ini untuk belajar, bertukar idea dan mewujudkan kerjasama bermakna yang akan memberi impak positif kepada masyarakat global.

Menurut beliau juga, pendekatan itu selari dengan peranan USIM yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam melahirkan generasi muda yang berdaya cipta dalam memenuhi keperluan generasi yang kreatif, inovatif, dan berani dalam membangunkan penyelesaian kepada cabaran semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here