Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa lebih mempercayai laporan firma audit antarabangsa, Pricewaterhousecoopers (PwC) berbanding Jabatan Audit Negara (JAN).

Beliau berkata, ia susulan penjelasan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad yang mendakwa beliau dinafikan hak untuk menghadiri prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum ini.

Menurut Gulam Muszaffar, JAN merupakan agensi kerajaan yang mempunyai tanggungjawab memastikan standard, sistem dan laporan audit bagi agensi kerajaan dilaksanakan secara telus, profesional serta berintegriti.

“Apabila Tan Sri Madinah memaklumkan beliau sendiri dinafikan hak untuk menghadiri dan seterusnya memberi pandangan serta menjelaskan kedudukan JAN di dalam RCI TH atas kapasitinya sebagai pihak yang memberi Sijil Audit Bersih dalam urusan pengauditan TH sebelum ini, ia menimbulkan persoalan.

“Dalam RCI TH, gambaran yang diberikan seolah-olah Perdana Menteri lebih mempercayai laporan PwC daripada agensi kerajaan sendiri.

“Malah Perdana Menteri menjadikan laporan audit PwC sebagai ‘senjata dan peluru’ untuk membuktikan tuduhan ‘sakau’ itu benar-benar berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, bekas Ketua Audit Negara itu mendedahkan perbezaan metodologi dan kaedah pengiktirafan rosot nilai aset serta penilaian pelaburan menjadi punca utama perbezaan ketara antara dapatan audit JAN dan Financial Position Review oleh PwC berhubung kedudukan kewangan TH.

Madinah berkata, penyata kewangan TH yang diaudit JAN menunjukkan keuntungan bersih sekitar RM3.4 bilion, manakala Financial Position Review oleh PwC melaporkan kedudukan defisit atau kerugian sekitar RM1.4 bilion.

Dalam pada itu, Gulam Muszaffar turut mempersoalkan kos yang dibayar kerajaan kepada PwC bagi menyediakan laporan audit berkaitan RCI TH dengan mendakwa perbelanjaan itu menggunakan wang rakyat.

Beliau menggesa supaya jumlah sebenar bayaran kepada firma audit berkenaan didedahkan kepada umum bagi memastikan wujud ketelusan dalam penggunaan dana awam.

“Rakyat juga perlu tahu berapa jumlah kos sebenar bayaran laporan audit yang dibuat untuk RCI TH kerana telah menggunakan duit rakyat yang sehingga kini tiada sebarang pendedahan dibuat.

“Saya amat percaya jumlahnya jutaan ringgit. Nothing is free with PwC,” katanya.

Gulam Muszaffar turut memberi peringatan bahawa kepercayaan terhadap institusi awam perlu dipelihara kerana agensi kerajaan mempunyai tanggungjawab melaksanakan amanah berdasarkan prinsip profesionalisme dan integriti.

Kata beliau, sekiranya agensi kerajaan sendiri tidak lagi dipercayai dalam membuat keputusan dan menjalankan tanggungjawab, keadaan itu berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Jika anda sudah tidak percaya dengan agensi kerajaan sendiri, itu bermakna anda sendiri akan ‘membunuh’ mereka dalam senyap dengan membawa agenda kapitalis,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan sekiranya corak sedemikian berterusan sehingga keputusan serta dapatan institusi awam hanya dipersoalkan apabila tidak selari dengan kepentingan politik tertentu.

Menurutnya, ia boleh memberi kesan kepada keyakinan terhadap institusi seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bank Negara Malaysia (BNM) serta kementerian dan agensi kerajaan.

“Jangan terkejut jika selepas ini jawatan tertinggi agensi seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua SPRM, Ketua SPR, Gabenor BNM, KSU-KSU kementerian dan ketua-ketua pengarah agensi yang sentiasa menjunjung integriti serta menjalankan tugasan sebagai penjawat awam tidak lagi dipercayai.

“Bayangkanlah apabila tingkah laku, tindakan, dapatan dan keputusan yang dibuat jawatan tertinggi agensi kerajaan ini tidak memihak kepada kepentingan politiknya.

“Siapa lagi yang anda ingin percaya? Runtuh institusi kerajaan jika ini benar-benar berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here