KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menubuhkan badan khas untuk menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) serta gesaan mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kedua didakwa hanya untuk melengahkan tindakan pihak berkuasa.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, lebih membimbangkan kerana siasatan berhubung pengurusan TH kini sudah dimulakan, termasuk tindakan reman terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) institusi berkenaan.
“Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan PAC menubuhkan badan khas untuk meneliti pengurusan TH.
“Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula memberi cadangan agar RCI 2.0 dilakukan, padahal BN dan PN terlibat ketika RCI itu ditubuhkan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bukannya mewujudkan mekanisme baharu yang boleh menyebabkan isu berkenaan kembali berlarutan.
“Laporan RCI TH itu membuktikan wujud salah tadbir urus. Maka biarlah SPRM dan PDRM teruskan siasatan.
“Oleh itu, perlukah PAC? Apakah PAC ada bidang kuasa macam SPRM dan PDRM?” soalnya.
Dalam pada itu, Puad melihat forum ‘Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ yang turut disertai pemimpin BN serta PN didakwa menjadi platform untuk mempersoal serta melemahkan kredibiliti laporan RCI.
“Keperluan untuk menubuhkan RCI baharu tidak timbul kerana siasatan sudah berjalan. RCI 2.0 juga tidak perlu. Siasatan sudah bermula. CEO sudah direman. Maka kita tunggu kalau ada sakau,” katanya.
Puad turut membangkitkan kenyataan Tan Sri Madinah Mohamad dalam forum berkenaan yang menurutnya mengaku tidak memahami maksud istilah ‘sakau’.
“Justeru, jangan lagi buang masa, RCI 2.0 dan PAC hanya strategi untuk melengah-lengahkan tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Puad mendakwa Madinah juga tidak berani menjawab soalan media sama ada laporan RCI berkenaan akan berbeza sekiranya keterangannya diambil oleh RCI.
“Jelas forum itu yang sebenarnya mempolitikkan isu RCI-TH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















