Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

KUALA LUMPUR – DAP tidak sepatutnya memberi tekanan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan reformasi institusi, sebaliknya sebarang perbezaan pandangan perlu dibawa melalui saluran yang ditetapkan dalam kerajaan.

Jelas Pakar Perlembagaan dari ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, tindakan menetapkan tempoh empat bulan kepada kerajaan untuk menunaikan janji reformasi bukan sahaja boleh memberi tekanan kepada Anwar, malah berisiko menjerat DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Menurutnya, prinsip tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri tidak membenarkan anggota Kabinet melakukan tentangan atau kritikan secara terbuka terhadap Perdana Menteri.

“Jika ada mana-mana ahli Jemaah Menteri tidak sependapat dengan Perdana Menteri sekalipun, ia boleh merekodkan bantahan dan usul tidak bersetuju dalam minit mesyuarat.

“Jika ahli Jemaah Menteri tidak dapat menghormati adab dan prinsip tersebut, dia lebih wajar meletakkan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ruang untuk berbeza pandangan tetap wujud dalam kerajaan, namun ia perlu disampaikan menerusi saluran yang betul, khususnya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan bukannya melalui tekanan terbuka kepada Perdana Menteri.

“Perbezaan dan kritikan boleh ada, tapi hendaklah diuruskan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Sebelum ini, DAP yang mempunyai 40 daripada 150 kerusi Parlimen dalam blok kerajaan selain memiliki lima menteri dan tujuh timbalan menteri, menggesa Anwar menyegerakan pelaksanaan reformasi institusi utama menjelang Disember depan.

Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menggesa beberapa reformasi utama dilaksanakan segera, termasuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta memastikan peruntukan pembangunan kawasan diberikan secara saksama.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, percanggahan terbuka dalam kalangan anggota Jemaah Menteri bukan sahaja boleh menimbulkan persoalan terhadap kestabilan pentadbiran kerajaan, malah memberi tekanan yang tidak wajar kepada Perdana Menteri.

“Ahli Jemaah Menteri mewakili kepentingan kerajaan dan tertakluk kepada prinsip keluhuran Perlembagaan.

“Mereka perlu bezakan antara agenda parti dengan kewajipan kerajaan untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan perlu memahami kedudukannya dalam Jemaah Menteri dan tidak mencampuradukkan tuntutan agenda parti dengan tanggungjawab anggota kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here