Anggota DBKL melakukan kerja-kerja perobohan sebuah pondok yang dibangunkan secara tidak sah digunakan untuk mengutip bayaran tempat letak kereta di Taman OUG, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 OGOS 2026.

 

SEPUTEH – Operasi membanteras kutipan parkir haram di Jalan Hijau, Taman OUG hari ini menyaksikan sebuah pondok kutipan bayaran parkir dirobohkan susulan kegagalan operator mematuhi arahan supaya menghentikan kegiatan berkenaan.

Tindakan itu dilaksanakan secara bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) selepas operator terbabit tidak menghentikan kutipan parkir secara haram selepas diberi amaran sebelum ini.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, satu lawatan bersama pada 4 Ogos lalu melibatkan pihak penguatkuasa DBKL dan bahagian pelesenan yang telah memberi amaran kepada operator terbabit, selain memaklumkan lesen pengurusan serta lesen perniagaannya akan ditarik balik.

“Namun, mereka tidak ikut. Pada 15 Ogos, kami datang semula dan memberi amaran supaya tidak lagi mengutip parkir. Selepas itu berlaku insiden seorang rakan saya yang merupakan MPP (Majlis Perwakilan Penduduk) di sini, dipukul.

“Hari ini genap 14 hari selepas amaran diberikan dan operator terbabit sepatutnya mengalihkan pondok tersebut. Jika gagal, DBKL dan PTGWPKL akan mengambil tindakan,” katanya kepada media di tapak parkir berkenaan di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat mengikut Seksyen 426A Kanun Tanah Negara yang memberi kuasa untuk menahan atau merampas apa-apa struktur yang diletakkan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

Katanya, operator kutipan parkir pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan atau tanah rizab kerajaan.

“Selepas insiden itu berlaku, pihak polis turut datang menjaga kawasan ini bagi memastikan tiada lagi pihak yang mengutip parkir secara haram,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kutipan wang parkir secara haram termasuk seorang suspek disyaki menumbuk kepala seorang wanita di tanah kosong bersebelahan Dewan Komuniti, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang wanita berusia 38 tahun berhubung aktiviti mengutip wang parkir secara tidak sah tanpa kebenaran pihak berkuasa tanah.

Katanya, semasa pengadu berada di kawasan berkenaan, suspek memarahi wanita itu dengan kata kesat sebelum dipercayai menumbuk di bahagian kepalanya selain mengugut akan memukul dan membuat kacau di tempat kerjanya.

Dalam pada itu, Teresa berkata, beliau akan membawa cadangan kepada DBKL supaya kawasan berkenaan dibersihkan dan dipertimbangkan untuk dijadikan kawasan parkir yang sah bagi penduduk sekitar OUG.

Menurutnya, kawasan tersebut merupakan pusat perniagaan dan turut menjadi lokasi pasar pagi menyebabkan permintaan terhadap ruang parkir amat tinggi.

“Seluruh kawasan ini memang sesak dan tidak cukup parkir. Jadi, lebih baik DBKL bersihkan tempat ini dan jadikannya parkir untuk penduduk, pengusaha pasar pagi serta peniaga.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan lebih lanjut kerana tanah ini berada di bawah kawalan PTGWPKL, bukan DBKL,” katanya.

Anggota DBKL melakukan kerja-kerja perobohan sebuah pondok yang dibangunkan secara tidak sah digunakan untuk mengutip bayaran tempat letak kereta di Taman OUG, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 OGOS 2026.

Beliau berkata, antara cadangan yang akan dibincangkan termasuk sama ada kawasan itu boleh dijadikan parkir percuma untuk penduduk atau dibangunkan sebagai kemudahan parkir yang lebih teratur.

Tambah beliau, pihaknya juga perlu mendapatkan persetujuan PTGWPKL sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau turut menegaskan, isu parkir haram bukan hanya berlaku di kawasan berkenaan, sebaliknya terdapat lokasi lain di Kuala Lumpur yang turut berdepan masalah sama.

Jelasnya, pemilik kenderaan sering terpaksa membayar kepada pengutip parkir haram kerana bimbang kenderaan mereka akan dirosakkan.

“Saya berharap selepas kejadian ini, pihak polis, DBKL dan PTGWPKL dapat bekerjasama mengambil tindakan terhadap kegiatan seperti ini apabila terdapat aduan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan lapang berhampiran juga menunjukkan jumlah kenderaan yang tinggi kerana kekurangan tempat parkir, sekaligus menguatkan keperluan menyediakan kemudahan parkir yang lebih teratur untuk penduduk setempat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here