Ucapan ulang tahun ke-77 Pemuda UMNO daripada Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pergerakan Pemuda UMNO terus kekal relevan dan mendapat tempat di hati generasi baharu dengan membuka ruang lebih luas kepada golongan muda untuk terlibat dalam perjuangan parti.

Presiden UMNO itu berkata, Pemuda perlu mendengar pandangan generasi muda, memberi peluang kepada bakat baharu serta memahami keresahan dan aspirasi mereka.

Katanya, cabaran yang dihadapi generasi muda hari ini berbeza berikutan perkembangan teknologi, perubahan cara berfikir dan kepelbagaian suara dalam kalangan mereka.

“Keberanian sahaja tidak memadai. Ia mesti dipandu kebijaksanaan, disertai ilmu dan diterjemahkan melalui idea serta tindakan yang sesuai dengan peredaran zaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun ke-77 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Pemuda UMNO perlu memastikan golongan muda tidak dilihat sekadar sebagai pelengkap parti, sebaliknya sebagai pewaris perjuangan UMNO pada masa depan.

Menurutnya, UMNO juga perlu membuka “pintu Rumah Bangsa” dengan lebih luas bagi memberi ruang kepada generasi baharu menyumbang idea, bakat dan tenaga.

Beliau berkata, pengalamannya bersama Pemuda UMNO mengajarnya mengenai erti perjuangan, denyut nadi akar umbi serta tanggungjawab memikul amanah ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian.

“77 tahun bukan sekadar angka. Ia adalah himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekal untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, barisan kepimpinan serta seluruh anggota pergerakan itu di semua peringkat yang terus menggerakkan perjuangan parti.

Beliau berharap Pemuda UMNO terus menjadi wadah melahirkan golongan muda yang berani, berilmu dan bersedia memikul amanah kepimpinan pada masa hadapan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here