CYBERJAYA – Seluruh rakyat diajak mendoakan agar keadaan jerebu di negara ini dapat terkawal bagi membolehkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berlangsung dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seruan itu dibuat kerana Malaysia sedang membuat persiapan bagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.
“Kita juga sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dan berikutnya Hari Malaysia. Hari Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September.
“Kita doakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala mudah-mudahan jerebu lebih terkawal supaya sambutan boleh diadakan,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 TM, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
















