Ahmad Husam Baderudin
Ahmad Husam Baderudin

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas Ahmad Husam Baderudin memenangi saman fitnah terhadap Datuk Zamil Ibrahim dan bekas pegawai Datuk Seri Najib Razak, Mukhlis Maghribi.

Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam penghakiman hari ini mengarahkan kedua-dua individu berkenaan membayar RM483,000 kepada Ahmad Husam selepas membenarkan keseluruhan tuntutan yang difailkan terhadap mereka.

Zamil dan Mukhlis sebelum ini didakwa terbabit dalam konspirasi untuk mendapatkan sejumlah wang secara salah serta melakukan perbuatan fitnah terhadap pendakwah berkenaan.

Peguam Ahmad Husam, Muhammad Asyraf Abd Aziz daripada firma Zain Megat & Murad mengesahkan keputusan itu dicapai dalam prosiding yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, Hakim Datuk Mohd Aimi Zaini dalam penghakiman berkenaan mendapati wujud unsur ugutan dan fitnah terhadap Ahmad Husam atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam.

“Mahkamah mengarahkan Zamil dan Mukhlis membayar ganti rugi serta kos berjumlah RM483,000 selain menarik balik hantaran di media sosial yang memfitnah Ustaz Husam sebelum ini.

“Dalam masa 14 hari juga mereka perlu memohon maaf kepada Ustaz Husam,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Husam berkata, perjalanan untuk mendapatkan keadilan menerusi kes berkenaan bukan sesuatu yang mudah, namun beliau percaya kebenaran akhirnya akan terserlah.

“Saya percaya bahawa kebenaran mungkin mengambil masa untuk terserlah, tetapi dengan izin Allah SWT, kebenaran tetap akan menemukan jalannya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat dan semua pihak yang memberikan doa, sokongan serta kata-kata semangat sepanjang melalui proses berkenaan.

Ahmad Husam turut memberikan penghargaan khusus kepada Muhammad Asyraf atas usaha dan komitmen dalam mengendalikan kes tersebut.

“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.

“Semoga Allah SWT menjadikan segala ujian, kesabaran dan kepayahan yang telah dilalui sebagai asbab kepada kebaikan yang lebih besar, serta memberikan keadilan kepada setiap insan yang dizalimi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here