JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sedang memperkukuh kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan agensi berkaitan bagi menghadapi risiko jerebu serta pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor pada masa ini turut meningkatkan pemantauan di sekitar kawasan berisiko tinggi kebakaran seperti tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian, tanah gambut dan tapak pembinaan.
“Dalam masa yang sama, keadaan cuaca serantau juga boleh memberi kesan kepada kualiti udara di Johor, termasuk kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan.
“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor supaya sentiasa peka terhadap keadaan semasa dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih. Semakan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh dibuat melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa:
https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara langkah berjaga-jaga yang perlu diberikan perhatian ialah:
1. Kurangkan aktiviti di luar rumah, khususnya ketika cuaca terlalu panas atau apabila kualiti udara semakin merosot.
2. Apabila bacaan IPU melebihi 100 dan memasuki tahap tidak sihat, aktiviti luar terutama melibatkan kanak-kanak, warga emas serta golongan berisiko hendaklah dikurangkan atau ditangguhkan.
3. Sebarang arahan berkaitan penutupan sekolah atau institusi pendidikan hendaklah dipatuhi berdasarkan bacaan IPU serta arahan rasmi pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan.
4. Elakkan sama sekali pembakaran terbuka. Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa.
5. Minum air secukupnya dan pastikan tubuh sentiasa terhidrat sepanjang tempoh cuaca panas.
6. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan, khususnya penyakit pernafasan, perlu mengambil langkah perlindungan tambahan dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami simptom atau berasa tidak sihat.
7. Jangan mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan. Rujuk JAS, MET Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.
Tian Soon juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.
Tegasnya, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Saya juga telah meminta semua agensi berkaitan di begeri Johor supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan sebarang risiko terhadap kesihatan awam dan alam sekitar dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Kerjasama semua pihak ujarnya, amat penting dan semua pihak perlu menjaga kesihatan diri dan keluarga, pada masa yang sama memainkan peranan dalam memastikan alam sekitar Johor terus terpelihara.
Ketika ini berlaku beberapa pembakaran terbuka di negeri ini dan terbesar serta masih berlaku adalah di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, Pengerang yang melibatkan 51.4 hektar kawasan lalang terbakar sejak semalam.
Sehingga pagi ini seluas 25 hektar atau separuh daripada kawasan terbabit sudah berjaya dikawal dan dipadamkan, operasi masih diteruskan sehingga kini.- MalaysiaGazette
















