Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berucap pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dan mereka dijangka direman esok.

Sumber berkata, Azeez telah dipanggil SPRM untuk membantu siasatan tengah hari tadi, sebelum ditahan kira-kira jam 4 petang.

Kedua-dua mereka dipercayai ditahan bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam pada itu, sumber sama mendakwa beberapa pemimpin  UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal didakwa Jumaat ini.

“Ada beberapa nama, dikaitkan dengan pelbagai salah laku ketika berada dalam tampuk kerajaan. Nantikan kejutan Jumaat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berucap pada Musyawarah Nasional 2.0 Realiti dan Persepsi jangan mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2026.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu lelaki berusia dalam lingkungan usia 60-an.

SPRM juga mengesahkan mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, petang tadi.

“Mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok,” menurut kenyataan itu.

Laporan RCI berkenaan sebelum ini membangkitkan beberapa isu berkaitan pengurusan dan kedudukan kewangan TH, termasuk perkara yang berlaku semasa Azeez menerajui institusi itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here