KUANTAN – Sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bukan didorong faktor peruntukan, sebaliknya berlandaskan kepentingan rakyat dan komitmen meneruskan pembangunan negeri.
Wan Rosdy berkata, pendirian ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus itu membuktikan kepentingan rakyat mampu mengatasi perbezaan politik.
Beliau menyambut baik sokongan berkenaan dan menegaskan kerajaan negeri tidak pernah melihat perbezaan politik sebagai penghalang untuk bekerjasama demi rakyat.
“Ini menunjukkan bahawa kita memang bekerja untuk rakyat negeri Pahang.
“Politik ini kita letak perkara yang nombor dua, nombor tiga, nombor empat. Yang penting rakyat Pahang,” katanya.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sokongan mana-mana wakil rakyat yang mahu bersama-sama memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
“Kalau boleh ada ramai lagi nak sokong, lagi bagus. Kita mengalu-alukan,” katanya.
Sementara itu, ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, keputusan bersama ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus itu dibuat atas kesedaran untuk memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan, khususnya dalam aspek pembangunan dan kebajikan di kawasan masing-masing.
“Kita sokong secara ikhlas. Dah kita declare sokongan kita kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan kita committed untuk bekerjasama dalam menyokong dasar-dasar dan program-program kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.
Jasri berkata, sokongan itu bukan bermakna mereka mengetepikan prinsip atau perjuangan parti, sebaliknya satu bentuk kerjasama bagi memastikan rakyat di DUN Kuala Sentul dan Lepar terus mendapat perhatian kerajaan negeri.
Katanya, pendirian berkenaan turut mendapat restu Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas perkara itu dibincangkan di peringkat pusat.
Dalam pada itu, Jasri turut mengesahkan beliau dan Mohd Yazid mempunyai memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar, namun kandungan perjanjian tersebut tidak didedahkan kepada umum.
Mengulas kemungkinan kerjasama itu diteruskan pada pilihan raya akan datang, Jasri berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan kerana fokus mereka ketika ini adalah melaksanakan amanah sehingga DUN dibubarkan.
“Kita fokus dahulu menjalankan amanah. Soal pilihan raya akan datang, itu belum diputuskan,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
2 ADUN Bersatu Pahang sokong Wan Rosdy hingga PRN-16
















