ALOR GAJAH – Mana-mana parti yang mahu menjadi ‘pasangan hidup politik’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menerima pendirian parti itu untuk tidak berkompromi terhadap 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertahankannya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, 21 kerusi berkenaan merupakan ‘garisan sempadan perbincangan’ yang ditetapkan dalam sebarang rundingan kerjasama politik dengan mana-mana pihak.
“Kepada mereka-mereka yang berhasrat untuk menjadikan pasangan hidup politik (BN-UMNO), you kena beritahu sayalah apa sebabnya.
“Saya alu-alukan siapa nak datang, tapi asas perbincangan mestilah berdasarkan kepada satu rasional yang cukup munasabah…kita tidak akan kompromi 21 kerusi, itu kita punya garisan sempadan perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN negeri menegaskan, BN terbuka menerima mana-mana pihak yang berminat menjalin kerjasama politik, namun asas rundingan itu perlu dipersetujui.
Tambahnya, sebarang keputusan mengenai kerjasama itu juga tertakluk kepada restu pimpinan tertinggi UMNO dan bukan diputuskan secara bersendirian di peringkat negeri.
“Saya tidak boleh nak menguruskan apa juga keputusan melainkan mendapat blessing daripada pihak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang akan dibincangkan esok.
“Jadi saya takkan mengadakan mesyuarat (MKT) di Melaka, (tapi) akan buat mesyuarat di WTC (Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan PRN Melaka, Ab Rauf sekali lagi berahsia mengenai tarikh pembubaran DUN, walaupun mengakui pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.
“This is an open secret. Pilihan Raya Negeri ini bila-bila masa sahaja. Tak ada masalah, cuma tarikh itu saya belum dapat ilham.
“Pembubaran itu saya akan buat bila waktu bubar. Kalau saya beritahu sekarang, tak ada thrill lah. Keep on chasing me. Catch me if you can,” katanya berseloroh.
Beliau berkata, DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 30 Disember ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal. – MalaysiaGazette
















