Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan sewajarnya berhubung rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir besar di Rasuwa, Nepal.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya maklumat terkini mengenai keselamatan dan keberadaan mereka disalurkan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Saya mengikuti perkembangan tragedi ini sejak ia dilaporkan berlaku semalam apabila melibatkan rakyat Malaysia.

“Saya juga menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan yang sewajarnya termasuk dalam menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga masing-masing mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat,” titah Seri Paduka Baginda.

Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan rasa prihatin serta mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana itu.

“Seri Paduka Baginda berdua menitipkan doa berharap semua mangsa berada dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi situasi berkenaan,” menurut hantaran itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, semalam.

Menurut Wisma Putra, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain berkaitan.

Media antarabangsa melaporkan angka korban akibat banjir yang melanda perkampungan dan laluan pendakian di kawasan sempadan Nepal-China itu meningkat kepada 162 orang, manakala ratusan lagi masih hilang. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here