Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota diliputi jerebu ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Malaysia berisiko mengalami cuaca berjerebu dengan jarak penglihatan terhad dari 27 hingga 31 Ogos ini susulan pengaruh angin barat daya serta jumlah titik panas yang masih tinggi di selatan Sumatera dan barat Kalimantan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan analisis model ramalan cuaca yang dipantaunya, Sarawak berpotensi menjadi kawasan paling terkesan dengan kebanyakan daerah dijangka mengalami jerebu pada tahap tidak sihat.

Menurutnya, beberapa daerah di negeri itu juga berpotensi mencapai tahap sangat tidak sihat pada 30 dan 31 Ogos.

“Ramalan model kepekatan jerebu MyCMAQ menunjukkan Sarawak berpotensi menjadi kawasan paling terkesan,” menurut kenyataan Met Malaysia hari ini.

Di Sabah pula, keadaan berjerebu dijangka berlaku mulai 29 Ogos, manakala di Semenanjung Malaysia, kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku terutama di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 31 Ogos.

Met Malaysia berkata, pihaknya sedang memantau keadaan berkenaan secara berterusan dan akan mengemas kini ramalan berdasarkan perubahan cuaca serta keadaan atmosfera terkini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here