KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas motosikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar penghadang batu di simpang empat lampu isyarat Jalan Persiaran Bukit Rahman Putra 1, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika lelaki berkenaan yang menunggang motosikal jenis Suzuki FU150 dalam perjalanan pulang selepas bersiar-siar untuk menuju ke rumah rakan perempuannya.
“Sebaik tiba di simpang empat lampu isyarat, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang batu di tengah jalan, menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak.
“Penunggang mengalami kecederaan manakala pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan ambulans Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik hospital berkenaan bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi lampu isyarat dan had laju ditetapkan serta mengutamakan keselamatan ketika memandu atau menunggang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Mohd Nizam Othman di talian 017-6254779 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di 03-61561222. – MalaysiaGazette
















