NEW YORK – Dua pengawal trafik udara meninggalkan tempat kerja lebih awal sebelum berlaku perlanggaran maut antara pesawat Air Canada dan sebuah trak bomba di Lapangan Terbang LaGuardia, New York pada Mac lalu, lapor The Wall Street Journal.
Menurut laporan yang memetik sumber itu berkata, kedua-dua pengawal berkenaan menamatkan tugas kira-kira sejam lebih awal daripada waktu syif sepatutnya berakhir, menyebabkan menara kawalan kekurangan kakitangan sebelum nahas yang mengorbankan dua juruterbang.
Rakaman kamera keselamatan pada 22 Mac menunjukkan pesawat berkenaan merempuh kenderaan kecemasan ketika trak itu melintasi laluannya, menyebabkan kedua-duanya terpelanting di landasan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) kini mengambil langkah untuk memecat kedua-dua pengawal trafik udara berkenaan.
The Wall Street Journal melaporkan Lapangan Terbang LaGuardia mengendalikan jumlah trafik lebih dua kali ganda berbanding biasa ketika kemalangan berlaku.
Amalan meninggalkan tempat kerja lebih awal itu dikenali sebagai “early shove” dalam industri penerbangan dan dianggap sebagai keistimewaan tidak rasmi bagi kakitangan, yang kadangkala diberikan selepas syif yang amat memenatkan.
Jurucakap FAA berkata, agensi itu komited memastikan kakitangannya bertanggungjawab serta tidak akan berkompromi terhadap keselamatan atau kecekapan sistem ruang udara negara.
Siasatan terhadap nahas itu masih dijalankan, namun laporan awal pada April mendapati terdapat kegagalan komunikasi dan kekurangan peralatan yang sesuai.
Laporan itu mendapati antara kesilapan paling serius berlaku apabila pengawal trafik udara memberikan kebenaran kepada kru trak bomba untuk melintasi landasan ketika pesawat sedang menghampiri.
Seorang pengawal kemudian menyedari kesilapan itu beberapa saat selepas kebenaran diberikan dan memberi arahan kepada kru trak bomba supaya berhenti.
Bagaimanapun, seorang daripada dua individu dalam trak berkenaan dilaporkan tidak mengetahui kepada siapa arahan itu ditujukan.
Penyiasat turut mendapati trak bomba berkenaan tidak dilengkapi transponder yang boleh memberi amaran secara automatik kepada pengawal trafik udara sekiranya pesawat dan kenderaan berada dalam laluan perlanggaran.
Nahas itu merupakan kemalangan maut pertama di LaGuardia sejak 1992. – Agensi
















