KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan sebarang kerangka baharu kawal selia e-dagang mewujudkan persaingan yang adil antara perniagaan tempatan, penjual asing dan platform e-dagang utama.
Ini kerana platform e-dagang asing yang beroperasi tanpa mematuhi piawaian dan peraturan Malaysia hanya akan membunuh peniaga tempatan, kata Ketua Biro Pembangunan Ekonomi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Tan Chin Hock.
Beliau berkata, langkah memperkukuhkan kawal selia itu penting bagi melindungi pengguna daripada produk tidak selamat, penipuan dan barangan yang tidak mematuhi piawaian tempatan.
“Platform e-dagang asing tanpa mengikuti piawaian kerajaan hanya akan membunuh peniaga tempatan.
“Jika kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan, ia adalah perkara yang sangat tidak adil, terutamanya terhadap pembayar cukai perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tan berkata, kerajaan sebelum ini membangkitkan isu produk elektrik dan elektronik yang tidak mempunyai pensijilan SIRIM, status halal produk makanan serta platform asing yang beroperasi tanpa pendaftaran atau kehadiran fizikal di Malaysia.
Katanya, sekiranya perniagaan tempatan diwajibkan mematuhi undang-undang, piawaian keselamatan, pensijilan dan pelbagai keperluan kawal selia, penjual serta platform asing yang mendapat akses kepada pasaran sama juga perlu tertakluk kepada peraturan berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya menangani kelemahan kawal selia dengan memindahkan sebahagian besar tanggungjawab dan kos pematuhan kepada penjual tempatan.
Sebaliknya, platform e-dagang yang mengendalikan jutaan transaksi perlu memikul tanggungjawab lebih besar, termasuk mengesahkan identiti penjual dan produk, mengurus aduan pengguna serta mengambil tindakan segera terhadap barangan tidak selamat atau melanggar peraturan.
Sehubungan itu tegasnya, Gerakan menggesa kerajaan mewajibkan penjual e-dagang asing utama yang menjalankan perniagaan di Malaysia mempunyai entiti atau wakil undang-undang tempatan yang boleh dipertanggungjawabkan.
Langkah itu penting bagi memastikan urusan pematuhan, aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Gerakan turut mencadangkan supaya kerajaan membangunkan keperluan pengesahan di peringkat platform melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), khususnya bagi memastikan produk dalam kategori dikawal selia memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan pensijilan Malaysia sebelum disenaraikan,” ujarnya.
Selain itu kata beliau, Gerakan mahu mekanisme penguatkuasaan bersepadu diwujudkan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta SIRIM bagi mengenal pasti dan menurunkan penyenaraian produk tidak selamat atau tidak mematuhi peraturan dengan lebih pantas.
Tan berkata, pengawalseliaan e-dagang perlu mencapai keseimbangan antara perlindungan pengguna dengan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Peraturan yang baik bukan sekadar menambah syarat baharu, tetapi memastikan semua pihak yang mendapat manfaat daripada pasaran Malaysia mematuhi peraturan yang adil serta memikul tanggungjawab masing-masing tanpa meletakkan perniagaan tempatan pada kedudukan yang tidak menguntungkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















