KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan, tiada isu berhubung pengiktirafan terhadap kelayakan institusi pendidikan tinggi (IPT) Brunei Darussalam, sekali gus menjelaskan kekeliruan berhubung dakwaan bahawa semua universiti di negara itu tidak diiktiraf Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendirian MQA berhubung perkara itu sudah dinyatakan secara rasmi kepada Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan Negara Brunei Darussalam menerusi surat bertarikh 14 Oktober 2025.
Beliau berkata, berdasarkan prinsip pengiktirafan kelayakan luar negara yang ditetapkan, pengiktirafan dibuat berdasarkan status pengiktirafan oleh badan berautoriti di negara asal.
“MQA menyatakan keyakinan terhadap jaminan kualiti universiti, IPT dan program pengajian mereka serta mengiktiraf program pengajian tersebut.
“Bagaimanapun, status pengiktirafan bagi program profesional adalah tertakluk kepada badan yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan perkembangan terbaharu hubungan Malaysia-Brunei selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara berkaitan pengiktirafan kelayakan IPT Brunei kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam mesyuarat Kabinet, kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pemegang kelayakan luar negara yang tidak tersenarai dalam Portal Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di portal MQA juga tidak bermakna kelayakan berkenaan tidak diiktiraf.
“Mereka boleh memohon secara individu untuk mendapatkan pengesahan pengiktirafan kelayakan berdasarkan status pengiktirafan di negara asal, mengikut borang dan proses yang ditetapkan dalam portal MQA.
“Pengesahan berkenaan boleh digunakan bagi tujuan menyambung pengajian atau memohon pekerjaan di Malaysia, termasuk untuk menyertai perkhidmatan awam,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberikan penjelasan dan pengesahan berhubung status kelayakan luar negara berdasarkan kerangka dan prinsip jaminan kualiti yang ditetapkan.
“Pendirian berkenaan turut memperlihatkan bahawa isu pengiktirafan kelayakan tidak wajar disamakan dengan persoalan sama ada sesebuah universiti atau IPT itu diiktiraf secara keseluruhan kerana pengiktirafan kelayakan turut mengambil kira status program dan bagi program profesional, bidang kuasa badan profesional berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette
















